Pemuda UMNO Pelawa Mahasiswa Sertai Sukarelawan Hadapi PRN
KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mempelawa mahasiswa untuk bersama UMNO/Barisan Nasional (BN) khususnya sebagai sukarelawan pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata ini merupakan peluang terbaik ditawarkan kepada para pelajar bagi menimba pengalaman.
“Jadi, sempena dengan PRN enam negeri tidak lama lagi ni, kami ingin mengajak adik-adik kita tidak kira latar belakang apa untuk bersama-sama berkempen dengan kami.
“Kita belajar bagaimana proses pilihan raya berlangsung dan timba pengalaman yang sudah tentu menarik. Tidak perlu menjadi ahli parti pon boleh serta yang penting minat nak jadi sukarelawan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dr Akmal turut mengemukakan borang penyertaan seperti yang berikut: https://forms.gle/97S5ZQQpXfWwJ7Fy5
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata peluang tersebut dibuka kerana mengimbas kembali zaman ketika menuntut di universiti yang mendorong minatnya untuk bersama dalam parti sebagai sukarelawan.
“Dulu masa saya zaman mahasiswa, perkara yang saya suka setiap kali balik bercuti di malaysia adalah untuk libatkan diri saya dalam mana-mana aktiviti sukarelawan terutama jika ada pilihan raya kecil.
“Kerana pengalaman pilihan raya ini adalah pengalaman yang susah nak dapat dan tidak ramai pemimpin ketika tu nak melayan kami mahasiswa untuk berkempen bersama,kalau dapat berkempen dengan pemimpin ketika itu, rasa seronok sangat dah,” ujar beliau. – UMNO Online