Guna Taktik Kotor Demi Undi… Pas Gagal Didik Rakyat Dalam Soal Politik
KUALA TERENGGANU, 18 – Pas ternyata gagal dalam mendidik rakyat dalam soal politik apabila mereka cuba untuk mendapatkan keyakinan para pengundi dengan taktik kotor seperti menipu, membuat tuduhan palsu dan fitnah terhadap parti lawan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, isu kerjasama UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan telah dimanipulasikan oleh Pas terutamanya mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
“Pertama, kena ingat dalam politik negara hari ini kita bersama dengan PH, bukannya Dap. Kita bersama mereka atas titah Yang di-Pertuan Agong. Itu asasnya.
“Berbanding dengan Pas dahulu yang bersama dengan Dap untuk menjatuhkan UMNO. Jadi, soal hari ini kita bersama dengan PH pun dimanipulasi oleh mereka kononnya kita bersama dengan Dap.
“Saya nak jelaskan di sini bahawa pertama ianya dibentuk atas titah Agong apabila Pas dan PPBM (Perikatan Nasional-PN) tidak mahu bekerjasama dengan PH pada masa itu untuk membentuk kerajaan. Kedua, kita bersama PH atas titah Agong,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, Pas juga pernah menjalinkan kerjasama bersama Dap dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan BN pada ketika itu yang berada dalam keadaan stabil dan makmur.
“Tetapi kalau kita nak ingatkan semula kepada rakyat bahawa Pas bersama dengan Dap dahulu dengan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada pada masa itu iaitu kerajaan BN.
“Sedangkan pada masa itu negara berada dalam keadaan stabil dan makmur. Jadi, di situ pun sudah nampak keikhlasan dalam soal berpolitik. Kedua, dalam konteks negeri Terengganu Dap tidak akan bertanding.
“Jadi kat mana kita nak kata bahawa UMNO akan bekerjasama dengan Dap di Terengganu? Dap menghormati Terengganu atas sebab kita majoriti penduduk adalah Melayu sehingga 96 peratus,” katanya lagi.
Jelas Tengku Haphiz lagi, kerjasama BN-PH sudah semestinya tidak akan mengabaikan empat teras utama prinsip perjuangan iaitu Islam agama persekutuan, Bahasa Melayu bahasa kebangsaan, hak istimewa bumiputera dan raja-raja Melayu.
“Kita perlu hormat juga mereka dan jangan terikut-ikut dengan gaya politik Pas yang suka melabel-labelkan orang terutamanya rakyat Malaysia. Dalam soal ini kita kena faham bahawa apabila orang menghormati kita, kita perlu menghormati orang lain.
“UMNO/BN Terengganu hari ini bersikap sangat objektif. Kita bersama dalam Kerajaan Perpaduan hari ini jelas atas dasar prinsip menjunjung titah Tuanku.
“Kita juga tidak akan mengabaikan apa sahaja kepentingan empat teras yang kita dah tandatangani bersama PH. Keempat-empat perkara ini setakat hari ini tidak pernah lagi diabaikan sepanjang kita menjadi kerajaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Tengku Haphiz beranggapan bahawa rakyat kebanyakannya yang memilih Pas ini telah tertipu dengan segala helah yang mereka gunakan seperti menipu dan merasuah rakyat.
“Dalam konteks negeri Terengganu, apabila kita beritahu kepada PH bahawa Dap tidak perlu bertanding atas faktor komposisi penduduk yang didominasi oleh orang Melayu dan Islam, mereka bersetuju.
“Kadang-kadang rakyat ini ditipu oleh Pas semata-mata untuk mendapatkan keyakinan rakyat melalui cara-cara yang kotor.
“Sebelum ini dengan merasuah, ini pula dengan buat tuduhan-tuduhan palsu. Perkara-perkara ini bagi saya mendidik rakyat untuk memahamkan mereka dalam soal politik, itu pun dah salah di peringkat awal,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala 29 Julai ini sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di Menara SPR, Putrajaya.
Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengumuman calon bertanding sehingga jam 11.59 malam, 11 Ogos. – UMNO Online