Wanita UMNO/BN Komited Gerakkan Jentera, Bantu Calon-Calon Bertanding PRN

PERMATANG PAUH, 17 Julai – Wanita UMNO/Barisan Nasional (BN) tekad akan menggerakkan jenteranya bagi membantu parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan yang bertanding di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, jelas Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Katanya, kerjasama dan gerak kerja yang bersepadu mampu memastikan kemenangan berpihak kepada BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Jangan risau pada jentera parti terutamanya jentera Wanita UMNO/BN dan insya-Allah jentera parti ini akan memastikan akan berada di setiap ceruk serta membantu calon-calon parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi menangi PRN ini.

“Apa yang akan kita laksanakan terutamanya berkerjasama dengan PH dan akan memastikan calon-calon pada PRN ini dan melakukan gerak kerja bersama.

“Pada 12 Ogos ini diharapkan semua rakyat Pulau Pinang dapat keluar mengundi dan selepas mengundi semua calon dari parti perpaduan ini akan memenangi dan mentadbir kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini Ahad malam.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir serta kepimpinan BN dan PH.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam negeri.

Selain Pulau Pinang, negeri yang terbabit adalah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.