Ingat Rekod ‘Kahwin-Cerai’ Pas… Hati-Hati Pilih Parti Untuk Bentuk Kerajaan Negeri Stabil – Shabery

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Rakyat perlu diingatkan dengan rekod mudah ‘kahwin-cerai’ Pas untuk lebih berhati-hati dalam memilih parti yang membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perkara yang dilakukan oleh Pas selalunya diakhiri dengan memburukkan ‘bekas pasangan’ mereka untuk menawan hati rakyat.

“Ada orang suka kahwin-cerai. Apabila dia kahwin, itulah pasangan yang hebat. Dulu dialah (Pas) yang ‘bernikah’ dengan Dap. Ketika itu, mereka laungkan ‘sokonglah Dap’, suruh jentera mereka angkat bendera Dap.

“Apabila ‘bercerai’, mereka katakan Dap tak guna, komunis dan sebagainya. Perkara yang sama terjadi semasa mereka berhubungan dengan Barisan Nasional (BN).

“Sebenarnya rakyat perlu diingatkan dengan rekod mudah kahwin dan cerai ini. Lepas cerai burukkan bekas pasangan, itu yang tidak betul. Kahwin kerana nafsu semata-mata. Ini adalah satu perkara yang rakyat perlu berhati-hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel untuk program bual-bicara secara langsung yang bertajuk ‘Melakar Kanvas Kemenangan’, anjuran Media Sekretariat Perpaduan pada Jumaat.

Jelasnya, parti-parti Kerajaan Perpaduan perlu bergerak ke hadapan dan melihat apa yang dimahukan oleh rakyat serta berusaha sedaya upaya bagi memenuhi aspirasi mereka.

“Kita ‘move forward’, lihat apa rakyat mahu. Orang muda mahukan pekerjaan, rakyat biasa mahukan keamanan dan semuanya mahukan kesejahteraan. Kita tahu kita ada pelbagai masalah. Tetapi dengan keadaan tidak menentu, pentadbiran negeri dan persekutuan tidak selari tidak akan menyelesaikan masalah.

“Kita perlu wujudkan kerajaan yang stabil dan selari antara negeri serta persekutuan. Di Kelantan telah 33 tahun tidak selesai masalah air. Dahulu mereka pernah jadi menteri air, sepatutnya masalah tersebut telah selesai.

“Sama juga seperti hukum hudud. Mereka pernah dilantik menjadi menteri undang-undang dan agama. Tetapi mereka tidak melaksanakannya pun sewaktu mereka berkuasa. Apabila hilang kuasa, semuanya tidak betul,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery turut beranggapan bahawa ini adalah peluang terbaik untuk parti-parti Kerajaan Perpaduan membina trek rekod baharu kepada rakyat.

“Kadang-kadang tuhan beri peluang. Kita boleh tunjukkan trek rekod kita kepada rakyat. Ada orang kata, bagi kami lima hari untuk selesaikan semuanya.

“Kita pernah tengok apa yang mereka lakukan sepanjang berkuasa maka, ini adalah peluang terbaik untuk lihat semula rekod mereka dan bina trek rekod baharu untuk rakyat,” katanya lagi.

Turut hadir sama sebagai panel jemputan pada program bual bicara ini adalah Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala 29 Julai ini sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di Menara SPR, Putrajaya minggu lalu.

Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengumuman calon bertanding sehingga jam 11.59 malam, 11 Ogos ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.