Ahmad Zahid Yakin Pulau Pinang Kekal Ditadbir Kerajaan Semasa
PERMATANG PAUH, 17 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin kerajaan negeri sedia ada akan kekal mentadbir Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan.
Menurutnya, ia dapat dilihat berdasarkan rekod kerajaan di Pulau Pinang yang lebih 15 tahun mentadbir dengan berdaya saing, kemajuan pembangunan dan perindustrian berteknologi tinggi hasil kesinambungan dari BN.
“Hakikatnya 15 tahun mentadbir Pulau Pinang menjadi negara termaju. Insya-Allah kalau BN menjadi sebahagian negeri Pulau Pinang akan membantu dan bukan sahaja menarik pelabur luar kerana menteri-menteri dari UMNO tetapi menteri luar juga komited untuk membantu Pulau Pinang untuk bawa pelabur-pelabur luar negara.
“Saya yakin Pulau Pinang di bawah Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow telah memberikan banyak manfaat kepada rakyat semenjak penubuhan Kerajaan Perpaduan serta menterjemahkan enam prinsip di dalam Madani bukan hanya politik tetapi dilaksanakan kerana Perdana Menteri berjiwa besar,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini malam tadi.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir serta kepimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH).
Beliau yang juga Presiden UMNO berharap UMNO/BN dapat membantu calon-calon PH pada PRN ini.
“Di mana sahaja calon-calon PH berada di situ jentera UMNO dan BN akan membantu. Ini bukan soal jawatan, yang penting apabila kebersamaan ini diterjemahkan nanti. BN pasti mendukung kerajaan Pulau Pinang ini. Apabila BN dan UMNO akan melaksanakan dengan penuh komitmen untuk mengukuhkan kerajaan Madani.
“Ketepikan perbalahan yang lalu, tutup buku lama buka buku baharu. Mereka rakan kita dan kita rakan mereka. Dulu lawan tetap lawan sekarang lawan jadi kawan. Buat apa kita berlawan, kita perkukuhkan Kerajaan Perpaduan,” ujarnya. – UMNO Online