PRN: Pemuda UMNO Komited Berjuang Bersama Pemuda Dalam Kerajaan Perpaduan
BUKIT MERTAJAM, 15 Julai – Pemuda UMNO bersedia dan komited untuk berjuang bersama-sama dengan pergerakan pemuda parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, termasuk di kerusi yang tidak ditandingi parti itu.
Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata gerak kerja untuk menghadapi PRN itu juga telah siap dan beliau akan memastikan jentera Pemuda UMNO bekerja kuat untuk memenangkan calon-calon parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Memandangkan Pilihan Raya Umum ke-15 baru berlangsung beberapa bulan lepas, sudah tentu gerak kerjanya kali ini lebih kurang sama, cuma ada beberapa portfolio yang kita mahu fokuskan. Kita juga akan gerak kerja bersama dengan Pemuda Kerajaan Perpaduan yang lain,” katanya kepada wartawan selepas berucap pada Pentas Anak Muda Madani Pulau Pinang di sini semalam.
Turut hadir Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia Adam Adli Abd Halim dan Timbalan Ketua AMK Malaysia Kamil Munim.
Berhubung program berkenaan, Dr Muhamad Akmal berkata ia merupakan kali pertama bagi Pemuda daripada blok Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berkongsi pentas yang sama, sekali gus menunjukkan semangat perpaduan dan komitmen kedua-dua blok untuk berjuang bersama.
Dr Muhamad Akmal berkata walaupun masih terasa “kekok” berkongsi pentas dengan Pemuda PH, beliau berharap langkah pertama itu akan memberikan manfaat kepada rakyat dan parti politik.
“Hari ini sejarah tercipta bagi Pemuda BN dan PH kerana di sini merupakan pentas pertama yang dikongsikan di peringkat nasional dan setakat ini, kami melihat sokongan daripada akar umbi memberangsangkan … kami jangka semangat ini akan dibawa sehingga hari pengundian pada 12 Ogos,” katanya.
Dr Muhamad Akmal berkata jentera Pemuda UMNO akan bekerja keras untuk memenangkan siapa pun calon yang bertanding atas tiket parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan. – BERNAMA