PRN: Keluarga Besar UMNO Digeruni Lawan, Manfaatkan Ke Arah Kemenangan

KUALA PILAH, 15 Julai – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan UMNO sebagai sebuah keluarga besar yang membawa signifikannya tersendiri kepada kekuatan parti.

Jelas beliau kekuatan dimiliki UMNO ini ternyata memberikan rasa gerun dalam kalangan parti lawan.

“Keluarga UMNO yang besar ini merupakan sesuatu yang digeruni dek semua orang, ini kekuatan kita.

“Orang kadang-kadang tak nampak kekuatan kita tetapi ianya memang amat digeruni oleh lawan makanya jika kekuatan ini tidak diguna pakai ia merupakan suatu kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bahagian Angkat Pilihan Raya Negeri Sembilan di Kompleks Rakan Muda, di sini petang tadi.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan serta kepimpinan lain.

Mengulas berkenaan bahagian angkat tersebut, Mohamad yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) berkata ianya diteruskan bagi memantapkan jentera pilihan raya tempatan ke arah kemenangan.

Katanya ini kerana, tempoh dua minggu berkempen perlu dimanfaatkan sebaiknya sebagai mempertahankan 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Lenggeng pada PRN kali ini.

“Maka sebab itulah di pihak ibu pejabat, gerakan atau sistem bahagian dan negeri angkat ini kita teruskan kerana ia akan dapat membantu jentera tempatan untuk urus gerak kerja pilihan raya.

“Bila pilihan raya ini memang sesuatu yang amat penting bagi kita kerana dalam pilihan raya seperti kata Datuk Seri Ahmad Maslan tiada naib johan kerana semuanya johan sahaja, kalah satu undi pun kalah… tidak boleh buat apa-apa.

“Jadi apa yang mesti kita lakukan di sini ialah bahagian angkat dari Johor dan Melaka yang sudi membantu dengan bantuan anda menambah nilai kepada gerak kerja ini kerana kita tidak ada banyak masa.

“Kita akan mengadakan penamaan calon pada 29 Julai dan hari pengundian 12 Ogos, hanya ada 14 hari sahaja dan itulah time frame kita ada untuk bersungguh-sungguh memastikan santuni seramai mungkin pengundi secara fizikal mahupun maya,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.