Sanusi Digesa Hentikan Kebiadapan, Berpolitik Secara Matang


KUALA LUMPUR, 14 Julai – EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan membidas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor yang dianggap biadap ketika menyampaikan ucapan dalam jelajah ceramah politik Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini.

Katanya beliau mengambil maklum akan kehadiran Sanusi ke bumi Selayang malah sentiasa terbuka dan mengalu-alukan sesiapa yang datang bertandang dengan apa sahaja tujuan, selagi datang dengan niat dan adab yang baik.

“Namun, saya sangat kesal apabila mengetahui kebiadaban YAB Dato Seri Sanusi dalam ucapan beliau semasa siri jelajah tersebut.

“Beliau tidak hanya menghina Menteri Besar Selangor, YAB Dato Seri Amirudin Shari, tetapi juga menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kerana melantik YAB Amirudin sebagai Menteri Besar.

“Selain itu, dalam ceramah yang sama, beliau turut memfitnah Duli Yang Maha Mulia Seri Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan melalui laman Facebooknya hari ini.

Shah Zanuriman yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Selangor merangkap Ketua Pemuda UMNO Selayang juga menegaskan bahawa UMNO tidak akan sesekali bertoleransi berkaitan penghinaan dan kebiadapan.

“Kebiadaban dan penghinaan terhadap institusi Raja mungkin diterima di tempat beliau, tetapi tidak sama sekali ditoleransi di Selangor, terutama di bumi Selayang.

“Selangor merupakan sebuah negeri maju yang bergerak seiring dengan nilai-nilai konservatif yang mengutamakan institusi Raja sejajar dengan kemajuan negeri. Kenyataan biadab beliau jelas menunjukkan bahawa PN tidak mempunyai agenda pembangunan dan kemajuan yang ingin ditawarkan kepada pengundi di Selangor.

“Mereka lebih suka bermain dengan politik penghinaan yang menjijikkan semata-mata untuk memuaskan penyokong tegar mereka. Kita boleh membayangkan bagaimana kerajaan yang akan dibentuk oleh mereka yang membenarkan politik sebegini.”

Oleh itu, katanya, pengundi Selangor yang akan memilih kerajaan negeri pada 12 Ogos 2023 nanti perlu menolak politik sebegini daripada menguasai negeri Selangor.

“Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Selayang tidak akan meminta YAB Sanusi untuk meminta maaf kerana tiada maaf bagi kebiadaban sebegini serta mendesak agar dia diharamkan dari berceramah di Selangor.

“Saya juga mengingatkan YAB Sanusi untuk hentikan kebiadaban yang tidak kenal batas ini dan berpolitik secara matang,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.