PRN: Rakyat Selangor Perlu Tolak Politik Sempit Dibawa PN – Lokman

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menyeru rakyat khususnya di Selangor untuk tidak terpengaruh dengan politik sempit dibawa Perikatan Nasional (PN).

Jelas beliau, Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai masa terbaik untuk rakyat Selangor menunjukkan keyakinan mereka di bawah pentadbiran negeri ketika ini.

“Rakyat kena tegas bila datang 12 Ogos ini kita kena tolak parti yang mengamalkan politik perkauman sempit.

“Pastikan jangan sampai Selangor ini di ‘Kelantankan’ oleh mereka, cukuplah mereka rosakkan Kelantan, Terengganu dengan penjualan tanah-tanah secara rakus” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Madani N09 Permatang yang diadakan baru-baru ini, turut hadir adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ketua Bahagian UMNO Tanjung Karang, Datuk Sulaiman Abd Razak.

Lokman yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia berkata rakyat perlu mensyukuri bahawa di bawah Amirudin Shari pelbagai tangga-tangga pencapaian ekonomi diperoleh  yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Sementara itu, Lokman turut menyifatkan sekiranya mandat rakyat diberikan kepada parti lain ianya tidak memberikan kelebihan buat negeri ini malah seperti memundurkan.

“Ini masanya kita majukan lagi di bawah Amiruddin, lepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tinggalkan Selangor… pelaburan langsung asing (FDI) mencanak naik, pendapatan negeri sudah melebihi negeri lain malah menyumbang satu perempat keluaran dalam negara kasar (KDNK) seluruh negara.

“Dalam keadaan kita ini cukup maju di Selangor, kenapa nak patah balik ke belakang? Hendak jadikan negeri yang mengharapkan Pusat untuk bayar gaji? Maka lingkup negara ini.

“Letak tepi segala persengketaan sebelum ini pastikan bulatkan tekad, kuatkan semangat siapa juga yang menjadi calon kita tidak kira pakai lambang Barisan Nasional atau Pakatan Harapan wajib untuk turun mengundi dan undi calon Kerajaan Perpaduan,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.