Azhari Yakin UMNO/BN Dapat Memenangi Kerusi DUN Pada PRN Ini

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam Datuk Azhari Shaari yakin semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan oleh UMNO/Barisan Nasional (BN) di Selangor dapat dimenangi kesemuanya.

Ini kerana katanya dengan kemenangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kerajaan negeri dan seterusnya sebagai tanda aras menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 nanti.

“Dengan kemenangan UMNO/BN pada semua kerusi yang dipertandingkan ini sebagai tanda aras yang sangat positif untuk UMNO menggilap dan membina semula bagi hadapi PRU ke 16. Perkara ini sangat penting walaupun UMNO tidak banyak kerusi yang dipertandingkan di DUN tapi hasil kerja itu menampakkan bahawa parti ini sentiasa kukuh.

“Saya mendoakan semua kerusi UMNO/BN bertanding di Selangor ini menang dan kekal di bawah Kerajaan Perpaduan dan memberi sumbangan penubuhan kerajaan negeri. Demi kestabilan dan agenda untuk rakyat akan mudah jika mempunyai kerajaan yang stabil,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambah Azhari, UMNO bahagian Shah Alam telah mengadakan pertemuan dengan PH dan gabungan ini memberi kelebihan kepada kedua-dua parti.

“Kita telah pun mengadakan perjumpaan dengan PH dan melihat saling memerlukan gabungan ini. Secara ‘on paper’ memberi kelebihan dan ‘base on score sheet’ kedua-dua undi memang tidak ada masalah dan beri kelebihan pada parti untuk mengekalkan kemenangan.

“Kita telah bergerak bersama-sama sebagai satu pasukan terutamanya dari segi calon. UMNO Shah Alam menerima keputusan parti bahawa kedua-dua DUN iaitu Kota Anggerik dan Batu Tiga kekal di bawah PH dan siapa calon pun mereka yang menentukan.

“Tanggungjawab UMNO Shah Alam adalah memastikan kedua-dua DUN di Parlimen Shah Alam ini mesti dikekalkan dan menyumbang kepada penubuhan kerajaan negeri,” ujarnya.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari mengundi bagi pilihan raya negeri (PRN) di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan.

Hari penamaan calon bagi keenam-enam negeri pula ditetapkan pada 29 Julai, sementara pengundian awal pada 8 Ogos dengan tempoh berkempen selama dua minggu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.