PRN: Jangan Provokasi, Sebar Kebencian Demi Raih Undi Rakyat – Azalina

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan parti lawan untuk tidak bermain kotor terutama dalam mendapat sokongan rakyat bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Jelas beliau, parti yang bertanding perlu berhadapan dengan realiti bahawa rakyat bijak memilih parti yang kompeten dalam membawa hala tuju masa hadapan mereka.

“PRN ini kalau iya pun nak kempen jangan provokasi kebencian atas sebab hendak meraih undi. Orang politik kalau kata lawan tetap lawan, berani kerana benar lawan.

“Jangan main kotor angkat sumpah, bagi duit… hendak buat apa? Kalau kita kuat lawan macam mana pun akan menang,” tegas beliau.

Azalina berkata demikian menerusi program Malaysia Di Ambang PRN 2023 yang disiarkan menerusi Facebook UMNO Online, turut menjadi panel adalah Ketua Wanita Keadilan Pusat, Fadhlina Sidek.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dalam pada itu turut menempelak parti lawan yang memainkan isu kerjasama yang dijalin dalam Kerajaan Perpaduan terutama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Dakwaan Azalina itu dipercayai sebagai mengkritik Pas dan PPBM yang sebelum ini pernah menjalinkan kerjasama dengan PH pada pilihan raya umum sebelum ini.

“Pada 2018 parti yang dianggap mengancam Islam Melayu, mereka boleh duduk sebantal, sekatil, seselimut, tetapi apabila masuk Kerajaan Perpaduan dan kononnya sudah berubah.

“Mereka yang tidur sebantal, sekatil dahulu adalah musuh kepada satu bangsa dan agama. Mereka sebelum ini boleh kita tidak boleh, jadi soalannya kenapa?

“Ada orang buat politik dalam elemen positif seperti kebaikan ke arah kejayaan.. inilah gerakan kita dan mereka ke arah advokasi negatif iaitu kerunsingan, kegagalan, kebencian sebab mereka menganggap menimbulkan ini akan mendapat undi, jadi soalan yang saya bawa berkali-kali itu hendak dibawa ke mana?” soal beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.