Depani PRN… Dr Asyraf Gesa Ahli UMNO Tolak Propaganda PN
KUALA LUMPUR, 12 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa semua ahli UMNO untuk menolak apa jua jenis propaganda yang sengaja ditimbulkan oleh pihak lawan iaitu Perikatan Nasional (PN) terutamanya dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
Tegasnya, propaganda yang sering dimainkan oleh PN ini meliputi isu kerjasama Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, kononnya Islam akan terancam sekiranya memilih calon Kerajaan Perpaduan.
“Beritahu semua makcik, pakcik, kakak-kakak, abang-abang, adik-adik di bawah jangan dengar propaganda mengatakan Islam akan hancur, Islam akan terancam jika memilih kita kerana yang menghancurkan Islam adalah mereka (pihak lawan) sendiri, mereka membuat pelbagai fitnah dan menghodohkan imej Islam.
“Mereka kata, masuk Pas baru boleh masuk syurga seolah-olah dia pemegang kunci syurga dan neraka. Buat satu majlis doa semoga negeri ini kekal jangan ditawan oleh musuh-musuh Islam dan kita mereka anggap sebagai musuh Allah.
“Orang UMNO tak mempermainkan agama, kita tak permainkan dalil-dalil Allah, tak permainkan al-Quran dan faham amalan Islam. Kita macam mana pun jangan bersangka buruk, kalau benda tu salah adalah salah sedangkan pihak sana kalau mereka buat (rasuah pengundi) boleh pula kata sedekah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pentauliahan Penceramah Penerangan UMNO Malaysia 2023 di Menara Dato’ Onn, di sini, semalam.
Jelasnya, meskipun UMNO/Barisan Nasional (BN) membentuk kerjasama bersama musuh tradisi, UMNO masih tetap akan berpegang kepada pendirian ‘salah adalah tetap salah’ dalam apa jua keadaan.
“Kita tak mahu menghalalkan perkara yang salah atau menjenamakan untuk melunakkan perkataan yang salah sedangkan mereka membuat tuduhan macam-macam terhadap UMNO.
“…yang paling penting tertubuhnya saja kerajaan kita buat satu perjanjian sembilan muka surat dan kita masukkan balik apa yang jadi perjuangan kita iaitu jangan sentuh bab Islam, jangan sentuh soal keistimewaan dan kedudukan bangsa Melayu, jangan sentuh hal Raja-Raja Melayu.
“Perjanjian ini kita namakan perjanjian persefahaman untuk membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia… itu sebab kita sudah pun membuat ketetapan,” katanya lagi.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman; Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan para peserta. – UMNO Online