Manfaat Media Sosial, Pantas Jawab Isu Dibangkit Pihak Lawan – Shabery

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berpandangan media sosial perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam menjawab isu-isu yang dibangkitkan terutama daripada pihak lawan.

Jelasnya ianya perlu dijawab secepat mungkin bagi memastikan isu yang dibangkitkan mendapat penerangan sewajarnya.

“Semua orang ada telefon, dahulu orang kaya sahaja sekarang anak kita yang lapan tahun pun sudah ada telefon bimbit.

“Insiden atau krisis yang berlaku dalam masa sejam itu sudah ada di media sosial. Jadi berita boleh dibuat oleh sesiapa di mana sahaja, apa juga keadaan dan ianya akan dikongsi di media arus perdana dalam masa sejam hingga tiga jam.

“Paling kritikal ialah 12 jam terawal, paling penting sekali kerana dalam masa itu analisis akan timbul kerana orang akan percaya kepada analisis yang pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pentauliahan Penceramah Penerangan di Auditorium Menara Dato’ Onn yang turut dihadiri Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.

Dalam pada itu, beliau berkata parti perlu mengambil pengajaran daripada insiden terdahulu yang menyaksikan pelbagai tuduhan dilemparkan parti lawan dan tidak dijawab.

“Banyak kita kalah dahulu cerita ‘cincin’ hingga sebulan tidak jawab lagi. Jadinya kalau ada cerita macam itu penerangan kena tentukan yang harus mengambil tanggungjawab untuk memberi respon… kerana tanggungjawab dalam menangani isu sangat penting,” ujar beliau.

Beliau turut mengambil contoh berkenaan isu hutang Felda dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebagai Pengerusi Felda saya kena mengambil tanggungjawab berkenaan isu tersebut, secepat mungkin saya keluarkan fakta.

“Pertama sekali paling mudah keluarkan di Facebook untuk dijadikan rujukan, sekejap sahaja mendapat 3,000 tanda suka dan 1,500 komen dan perkongsian.

“Komen itu penting kerana kalau ada 1,000 komen daripada situ ianya seumpama berjumpa dengan khalayak seramai itu,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.