PRN: Veteran UMNO Akan Lakukan Terbaik, Sedia Bantu Berkempen Di Enam Negeri

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Veteran UMNO akan melakukan yang terbaik bagi membantu enam negeri berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos ini.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Veteran UMNO dari tujuh negeri yang tidak terlibat dengan PRN akan membantu Veteran UMNO Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan untuk proses berkempen.

“Veteran UMNO dari tujuh negeri yang tidak terlibat dengan PRN iaitu Veteran UMNO Negeri Sabah, Pahang, Johor, Melaka, Wilayah Persekutuan, Perak dan Perlis akan ikut membantu Veteran UMNO Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor serta Negeri Sembilan bagi proses berkempen di negeri-negeri tersebut.

“Kami akan melakukan yang terbaik bagi memastikan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan kekal dibawah Kerajaan Perpaduan. Kami juga akan mencuba sedaya mungkin untuk memberi tentangan dan merampas Terengganu, Kelantan serta Kedah daripada Pas,” katanya kepada UMNO Online.

Semalam, media melaporkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diadakan serentak dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon.

Sementara itu, hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di Menara SPR.

Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengumuman calon bertanding sehingga jam 11.59 malam, 11 Ogos ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.