Tekad Jentera UMNO Negeri Sembilan Bawa Semangat Kemenangan Hadapi PRN – Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kepercayaan kepada keseluruhan jentera UMNO Negeri Sembilan dalam berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Jelas beliau melihat kesungguhan yang diberikan merupakan suatu petanda baharu kepada kemenangan UMNO serta Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

“Gemuruh jiwa saya mendengar laungan semangat seluruh jentera UMNO Negeri Sembilan yang hadir memenuhi Wisma UMNO Negeri – bertekad untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional dan gabungan parti Kerajaan Perpaduan menjelang PRN yang hampir tiba.

“Kebersamaan yang dizahirkan ini bertambah serasi dengan gandingan pemimpin lama dan baru, kombinasi kepimpinan bahagian-bahagian dan sayap-sayap yang segar serta kesungguhan jentera setiap peringkat telah meniupkan obor perjuangan bagi kita terus beristiqomah menempuhi PRN,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias di atas penganjuran Majlis Amanat Presiden tersebut.

“Tahniah diucapkan kepada Jalaluddin dan seluruh saf kepimpinannya atas kejayaan penganjuran Majlis Amanat Presiden pada petang ini serta koordinasi jentera yang baik menyerlahkan kesiapsiagaan untuk kita mencipta kemenangan.

“Kita kekalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan demi masa depan Negeri Sembilan yang lebih cemerlang. Insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.