Tony Pua Adalah Pelampau Politik Dalam Dap
ALOR SETAR, 24 Jun- Tindakan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua melabel Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’ adalah sikap seorang pelampau politik.
Pengerusi Barisan Nasional Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kenyataan itu tidak perlu dilayan kerana golongan sedemikian yang bersifat ekstrem dan melampau, sememangnya wujud dalam setiap organisasi.
“Dalam mana-mana parti politik pun, ada kumpulan dipanggil pelampau atau ekstrem. Jenis pelampau ini, mereka akan anggap semua orang lain tak betul dan hanya dia sajalah yang terbaik.
“Golongan ini perangai mereka tak boleh diubah dan mereka takkan beri kebaikan sama ada kepada partinya sendiri mahu pun rakan kongsi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kedah di Bangunan Tunku di sini, hari ini.
Mahdzir yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, pelampau politik seperti Tony Pua berkemungkinan mempunyai ‘masalah otak’.
Jelas beliau, pengalamannya berunding bersama Pakatan Harapan (PH) Kedah tidak wujud mana-mana individu mahu pun kumpulan ‘sakit otak’ seperti itu selama ini.
Menurutnya, tidak wujud kumpulan ekstrem melibatkan PH dan BN di Kedah walaupun masing-masing ada kalanya tegas mempertahankan pandangan serta tindakan yang perlu diambil.
“Kadang-kadang apabila berbincang, adalah tinggi suara sikit tetapi pada akhirnya setelah dijelaskan sebab sesuatu tindakan diambil, akhirnya semua bersetuju. Macam itulah baru budiman (gentleman).
“Saya fikir Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pun tolak orang macam ini dan DAP pun tak boleh nak kawal disebabkan kumpulan ekstremis dalam parti seperti ini, susah nak berkawan dengan orang lain.
“Golongan sebegini mungkin ada dalam BN serta Perikatan Nasional (PN) juga dan disebabkan itu, tak perlulah dilayan kerana Tony pun tak ada jawatan dalam DAP walaupun namanya masih ada dalam parti itu,” katanya.
Sementara itu Mahdzir memaklumkan, BN bakal membentangkan manifesto yang praktikal sebagai tawaran kepada rakyat Kedah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Bukan saja praktikal, malah manifesto itu mahu dipastikan dapat diurus dalam kadar segera. Manifesto itu tidaklah tebal sampai jadi satu buku seolah-olah Rancangan Malaysia tetapi merangkumi semua golongan termasuk orang muda dan wanita serta merangkumi pelbagai sektor seperti keagamaan serta ekonomi,” katanya. – UMNO Online