UMNO Pelopor Kemenangan Dari Awal, Pastikan Terus Menang Depani Cabaran
LAHAD DATU, 23 Jun – Parti UMNO telah mencapai kemenangan dari awal apabila menuntut kemerdekaan maka setiap kemenangan mesti diperjuangkan, tegas Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul yang yakin bahawa pelbagai cabaran yang dihadapi akan dapat diharungi.
Katanya, bagi mendepani cabaran terdekat iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) yang membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah maka UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu tahu musuh sebenar.
“Musuh kita sebenarnya bukan parti-parti yang menentang kita, tapi musuh sebenar kita adalah kekalahan. Maka, carilah kemenangan dengan apa cara sekalipun walaupun terpaksa bergabung dengan mana-mana parti, kerana parti UMNO adalah kemenangan,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, pasca Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini berbeza dengan persidangan yang telah berlaku berkali-kali sebelum ini
“Kerana, ternyata selepas pemilihan pimpinan UMNO, tiada lagi yang bergelar ‘pemangku’. Hari ini seluruh UMNO Bahagian berpijak di bumi yang nyata, dari 191 Bahagian UMNO seluruh negara.
“Pastinya setiap wakil negeri dalam hujahan membawa episod-episod tidak terduga dengan segala bentuk perasaan dan rasa, yang memberi mesej UMNO telah lahir dan bangkit semula.”
Katanya, amanah yang dimandatkan adalah amat besar, untuk memimpin dan menerajui sebuah kesatuan dan pemikiran dalam gabungan parti.
“Dengan berbekalkan segala yang tersurat dan tersirat dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, UMNO mampu menawan beberapa negeri, dalam enam PRN nanti, insya-Allah,” katanya lagi.
Dilaporkan, enam negeri yang bakal mendepani PRN membabitkan Selangor (DUN bubar hari ini) iaitu antara tiga negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) selain Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang masing-masing mengumumkan pembubarkan DUN pada 28 dan 30 Jun ini.
Selain itu, tiga lagi negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan PRN tahun ini ialah Kelantan, yang telah membubarkan DUN semalam, Kedah (28 Jun) manakala Terengganu masih berteki-teki mengenai tarikh sebenar pembubaran DUN. – UMNO Online