Junjung Kasih Titah Sultan Kedah, Elak Berpolitik Dan Fokus Pada Pembangunan – Norsabrina

BANDAR BAHARU, 22 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor menjunjung kasih titah Tuanku Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mahu tahap profesionalisme ditekankan kerajaan negeri bagi menjayakan agenda pembangunan digiatkan demi kebaikan rakyat.

Katanya Norsabrina, titah Baginda adalah satu penekanan yang jelas bahawa tumpuan sepenuhnya mesti dilaksana oleh kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan Negeri Kedah dapat dimaksimumkan.

“Sebelum ini Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat banyak membuat kenyataan dan tindakan yang bersifat sensasi malah pelbagai projek pembangunan tergendala selain keperluan rakyat terjejas, maka kini ia mesti dielakkan.

“Ini bukan soal nak tuding jari atau cari salah sesiapa namun titah baginda perlu diambil secara serius dengan menjadikan pembangunan sebagai keutamaan lantas memberi perubahan bukan hanya kepada landskap Negeri Kedah tetapi juga kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berkaitan titah Tuanku Sultan Kedah sempena Hari Keputeraan Ke-81 baginda, pada Ahad.

Kata Norsabrina, hal-hal berkaitan keperluan rakyat khususnya pembangunan termasuklah masalah air masih lagi tidak ada jalan penyelesaian dengan pelbagai alasan terus-terusan diangkat oleh kerajaan negeri.

“Perlu ada rundingan baik sesama Kerajaan Persekutuan, bukan menempelak pemimpin pusat dan politikkan segala isu rakyat untuk menunjukkan dan menegakkan benang yang basah.”

Ujarnya, berkaitan hal sejarah negeri pula serahkan kepada ahli pakar untuk mengkaji dan mengeluarkan bukti, bukan bercakap sesedap hati.

“Ini belum lagi soal ekonomi setempat yang juga tak ada apa-apa perubahan malah ada yang semakin terjejas namun bantuan atau usaha daripada kerajaan negeri yang diharapkan masih tidak ada,” katanya.

Tegas Norsabrina, hal-hal politik dan polemik berkaitan tingkah menteri besar yang lebih gemar bermain sentimen dan mewujudkan pelbagai publisiti adalah sesuatu yang tidak mendatangkan kebaikan.

“Justeru sepatutnya rakyat dan negeri adalah keutamaan dengan perancangan pembangunan masa hadapan dilaksana berterusan,” katanya lagi.

Terdahulu dalam titah baginda, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mahukan keharmonian hubungan di antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan kerana negara, negeri dan rakyat memerlukan kestabilan politik untuk memperoleh manfaat melalui pembangunan projek ekonomi dan program kesejahteraan rakyat yang dirancang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit