DUN Kelantan Bubar Secara Rasmi Hari Ini

KOTA BHARU, 22 Jun – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang mempunyai 45 kerusi hari ini secara rasmi dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ia susulan pengumuman Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob pada sidang medianya Rabu lepas, bahawa pembubaran DUN itu mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Pembubaran DUN bagi penggal ke-14 itu dilakukan empat hari lebih awal, berbanding tempoh mandat DUN yang akan berakhir pada 26 Jun ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS mendominasi Kelantan apabila menang 37 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) menguasai lapan kerusi.

Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas Datuk Seri Mustapa Mohamed kemudian bertindak keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu.

PRN Kelantan kali ini akan menyaksikan BN membuat kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH), selain PAS yang menerajui Kelantan sejak 1990 juga tidak bersendirian apabila membentuk kerjasama dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN).

Ketika ditemui media semalam, Setiausaha PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat mengesahkan parti itu akan bertanding di 39 kerusi DUN manakala Bersatu akan menentang BN di enam kerusi.

Bagi BN dan PH, kedua-dua gabungan berkenaan juga telah menyelesaikan pembahagian kerusi masing-masing.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan Datuk Zawawi Othman dilapor berkata calon BN akan diletakkan di 31 kerusi manakala 14 kerusi diberikan kepada PH.

Kelantan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN termasuk Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit