UMNO Terus Bersama Rakyat, Tolak Dakwaan Negatif Terhadap Parti – Jamal
PAPAR, 21 Jun – Polemik dan dakwaan negatif terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali rancak sejak kebelakangan ini termasuk memburukkan Kerajaan Perpaduan yang didukung atas kerjasama 19 parti-parti politik seluruh negara.
Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi menegaskan bahawa UMNO adalah parti yang kekal utuh kepada prinsip dan perjuangan sebagaimana penubuhannya malah sehingga kini kekal demi agama, bangsa dan negara.
Namun katanya, beliau tidak menolak kebarangkalian pelbagai dakwaan negatif terhadap UMNO yang mula berlegar dalam media sosial ekoran menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.
“Inilah UMNO yang kekal dari dulu berteraskan politik khidmat bakti, mengutamakan pembangunan dan kesejahteraan rakyat namun hal ini dimanipulasi oleh pihak lawan yang mahu menggunakan politik kotor memburuk-burukkan parti kita.
“Kerana itu, kita ahli-ahli UMNO perlu waspada dan sentiasa beringat dengan tindakan pihak lawan malah ambil iktibar juga bagaimana kejatuhan kerajaan BN sebelum ini yang disebabkan oleh fitnah, persepsi dan manipulasi tidak benar,” katanya kepada UMNO Online.
Tegas Jamal, kepimpinan UMNO di semua peringkat sama ada di akar umbi, Cawangan, Bahagian hinggalah ke peringkat pusat tetap komited melaksanakan gerak kerja bagi membantu rakyat dalam pelbagai perkara.
“Saya sendiri di bahagian saya sentiasa turun padang menyantuni rakyat, kita mahu dengar sendiri permasalahan yang dihadapi, bersama-sama mereka kerana kita adalah satu keluarga besar yang mahukan masa depan lebih baik.
“UMNO/BN kembali menjadi harapan rakyat untuk selepas krisis politik yang berlaku iaitu kegagalan pentadbiran kerajaan 22 bulan dan 17 bulan dalam Perikatan Nasional (PN).
“Ini ditambah lagi apabila keadaan kerajaan tergantung selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu apabila tidak ada parti yang menang dengan majoriti cukup, namun kita bersama mendukung Kerajaan Perpaduan sebagimana titah Agong demi masa depan rakyat dan negara. Apabila bercerita tentang kerajaan, rakyat melihat apa yang berlaku dan tentunya sudah dapat menilai dengan jelas berdasarkan kepada apa yang dilalui namun apa yang paling penting adalah memperkukuh UMNO.”
Katanya, rata-rata rakyat yang ditemuinya mengharapkan hasil daripada kebangkitan UMNO terutamanya dalam hasrat mengembalikan negara dalam landasan pembangunan yang gemilang.
Terdahulu Jamal bersama-sama warga tempatan dalam Program Pemeriksaan dan Saringan Kesihatan Wanita anjuran Yayasan Jiwa Malaysia dengan kerjasama Wanita UMNO Bahagian Papar di samping memenuhi beberapa undangan perkahwinan di sekitar Kampung Beringgis, Kampung Andus dan Kampung Tebobon di sini. – UMNO Online