Terjemah Pandangan, Cadangan PAU2023 Untuk Gerak Kerja Hadapi Enam PRN – Khairul Azman

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Seusai pemilihan UMNO kini parti meneruskan kejayaan dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 dan tampil gandingan saf kepimpinan yang baharu dan lama bagi ahli Majlis Kerja Tertinggi dan sayap-sayap.

Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez, PAU sebenarnya tempat berkongsi pandangan melalui usul-usul yang dibawa dan diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja terutamanya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.

“Saya telah lihat perkembangan dalam PAU kali ini lebih-lebih lagi akan berhadapan dengan PRN. Ada idea-idea dan cadangan-cadangan dari perwakilan khususnya tentang bagaimana hendak laksanakan kempen dengan lebih berkesan kerana baharu saja kita menerima kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Bagaimana kita dapat bangkit kembali dengan kekuatan yang baharu, kepimpinan yang baharu terutama bagi negeri-negeri yang bakal terlibat dengan PRN. 

“Paling penting perkongsian yang dilontarkan oleh wakil-wakil negeri dan pergerakan sayap-sayap dapat diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja bagi berhadapan PRN,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut beliau turut berharap perwakilan yang hadir pada PAU ini dapat beri semangat dan motivasi kepada seluruh akar umbi bagi berhadapan PRN di bahagian masing-masing.

“Hasil PAU ini cukup penting kerana dapat memberikan gambaran ‘signal’ secara tidak langsung dan motivasi ahli parti bagi hadapi dengan PRN.

“Tunjukkan komitmen dan peranan secara bersama, semangat PAU perlu diterjemahkan di peringkat bahagian-bahagian dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing,” jelasnya.

Dalam masa yang sama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling itu menjelaskan ianya tidak mustahil parti ini dapat memenangi balik kerusi-kerusi yang tewas pada pilihan raya lalu.

“Ianya tidak senang namun tidak mustahil memenangi balik kerusi-kerusi yang dipertandingkan pada PRN ini dan yakin dengan gerak pasukan, rangkaian parti-parti yang sedia ada di dalam Kerajaan Perpaduan dapat dilakukan bersama.

“Walaupun agak susah sikit tetapi tidak mustahil akan memenanginya dan ianya bukan satu perkara yang mudah terutamanya bagi negeri-negeri di utara,” jelas beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit