Pembangunan KXP: Sanusi Diminta Jaga Hubungan Dengan Kerajaan Pusat – Shaiful Hazizy
ALOR SETAR, 20 Jun – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan agar bertindak bijak untuk menjaga hubungan dengan Kerajaan Pusat supaya pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dapat berjalan dengan lancar.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, beliau menjunjung kasih di atas titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah yang mahukan agar KXP diberikan layanan dan pertimbangan sewajarnya.
“Saya menjunjung kasih di atas titah KDYMM Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah dizahirkan dalam titah ucapan bersempena Hari Keputeraan Baginda ke-81 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, sebentar tadi yang mahukan KXP diberikan layanan dan pertimbangan sewajarnya.
“Saya juga amat bersetuju dengan perancangan pembangunan KXP yang digagaskan sejak zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, sebagai usaha memantapkan lagi kedudukan ekonomi negeri Kedah pada masa akan datang.
“Pun begitu, saya ingin menasihati Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk bertindak bijak menjaga hubungan dengan Kerajaan Pusat supaya pembangunan ini berjalan lancar seperti dirancang,” katanya.
Jelasnya, beliau amat khuatir akan hubungan dua hala antara Kerajaan Negeri Kedah dan Pusat yang agak kurang baik disebabkan kelakuan Muhammad Sanusi.
“Saya sangat khuatir akan hubungan dua hala antara Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Pusat pada ketika ini yang dilihat kurang baik akibat kelakuan serta tindak tanduk Menteri Besar Kedah, berbanding negeri-negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) lain dilihat dalam keadaan baik meskipun berbeza ideologi politik.
“Untuk makluman, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun mengadakan beberapa kali pertemuan rasmi dengan Menteri Besar Terengganu dan Menteri Besar Kelantan, membincangkan agenda pembangunan di kedua negeri tersebut serta sejumlah peruntukan besar telah pun diluluskan, namun ada banyak perkara yang tidak kena dengan negeri Kedah.
“Mengapa Perdana Menteri dilihat terlalu dingin untuk berunding dengan Menteri Besar Kedah? Saya yakin segala-galanya boleh dijawab oleh Menteri Besar sendiri yang telah menghalalkan politik sebagai pentas untuk melafazkan cerca nista dan pelbagai tohmahan terhadap Perdana Menteri,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa agar Menteri Besar Kedah itu menggunakan pendekatan lebih berdiplomasi untuk mengaturkan pertemuan bagi membincangkan agenda pembangunan dan merealisasikannya secara harmoni.
“Difahamkan, usaha membangunkan KXP masih memerlukan beberapa ketetapan teknikal tertentu bagi dipenuhi Kerajaan Negeri untuk diluluskan Kerajaan Pusat. Oleh itu, kami menggesa Menteri Besar Kedah agar menggunakan pendekatan lebih berdiplomasi untuk mengatur pertemuan membincangkan agenda pembangunan agar dapat direalisasikan secara harmoni.
“Jangan gunakan pentas ceramah dan maki hamun sebagai medan melonjakkan populariti. Menteri Besar perlu sedar, di sebalik kedudukannya sebagai pengarah pilihan raya sebuah parti tersohor, beliau juga punya tanggungjawab kepada rakyat negeri yang sangat dambakan perkhidmatan dan pembangunan pada tahap yang paling maksimum,” katanya lagi. – UMNO Online