Mahdzir Tegaskan Tiada ‘Warlord’ UMNO Kedah Sertai PN

ALOR SETAR, 20 Jun – UMNO Kedah menafikan terdapat ‘warlord’ atau pemimpin utama parti di negeri itu yang akan menyertai Perikatan Nasional (PN) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti yang uar-uarkan sebelum ini.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, dakwaan itu hanya persepsi dan mainan propaganda menjelang PRN yang direka oleh PN untuk meraih sokongan rakyat.

“Setakat ini tidak nampak, tidak ada di Kedah.saya fikir mana-mana organisasi parti politik akan ada musim di mana ada yang keluar dari parti atau dikenakan tindakan dan mereka bawa diri. Bukan sahaja UMNO pergi ke parti lain, tapi dari parti lain ke UMNO pun ada terjadi.

“Contohnya, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyertai Majlis Ulama UMNO. Jadi, tidak perlu guna persepsi untuk pilihan raya kerana pada akhirnya rakyat akan pilih sama ada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) atau PN,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambah Mahdzir, propaganda mengenai ‘warlord’ itu adalah lebih kepada usaha untuk meraih sokongan dari beberapa golongan yang akan mengundi pada PRN akan datang terutamanya golongan anak muda.

“Semua ada pemikiran masing-masing untuk kemajuan Kedah dan dalam tempoh lima tahun akan datang, adalah sesuatu yang kita tidak dapat elak dan perlu kerajaan yang sama seperti Persekutuan sebab itu kita mahu ‘kalih’ negeri ini,” katanya.

Pada 12 Jun lalu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam sidang medianya di lobi Parlimen memaklumkan, PN akan mengumumkan senarai nama 10 ‘panglima perang’ atau ‘warlord’ UMNO yang disisihkan untuk menyertai parti dalam gabungan itu dalam masa terdekat.

Sementara itu, Mahdzir berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan mengenai aktiviti-aktiviti yang boleh difokuskan untuk dilaksanakan menjelang PRN ini supaya program bersasar dan bersesuaian dapat dijalankan kepada semua kumpulan sasaran.

“Kita kena ambil kira semua kumpulan, apa yang sesuai untuk anak muda, pesawah, nelayan, penoreh getah dan lain-lain.kira tengok apa program bersesuaian di tempat masing-masing sebab kawasan juga ada ‘multiracial’ ada Melayu, Cina, India dan Siam, jadi kena ambil kira semua itu.

Ditanya mengenai calon parti yang akan bertanding pada PRN, beliau berkata ia sedang disusun dan akan disiapkan dalam masa terdekat.

“Siap nanti kita akan serah nama-nama calon itu kepada Presiden parti. Ada calon muka baharu, muka lama dan juga wanita dan calon terbaik yang akan dipilih nanti.” – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.