Prinsip UMNO Jelas, Tidak Tergelincir Agenda Perjuangan – Mohd Zaidi

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Perhimpunan Agung UMNO 2023 telah menjelaskan kepada ahli parti bahawa prinsip serta agenda perjuangan UMNO tidak lari malah tidak tergelincir daripada landasan perjuangan meskipun bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini.

Malah bagi Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said isu yang menjadi kebimbangan di akar umbi telah diterangkan dengan sebaiknya dan apa yang pasti ketegasan parti dalam soal agama, Melayu, negara dan sebagainya lagi terus terpahat kemas dalam prinsip perjuangan sepertimana sebelum ini.

Menurut beliau jelas dengan ketegasan tersebut, ahli parti serta pendokong serta penyokong termasuklah rakyat di luar sana tidak perlu gusar dengan langkah UMNO kerana barisan kepimpinan parti telah menjelaskan segala-galanya dengan penuh kemas.

“Perhimpunan Agung UMNO 2023 telah menjelaskan banyak perkara dan isu utama yang menjadi kebimbangan ahli akar umbi tentang prinsip akar perjuangan UMNO dalam usaha memastikan agama, Melayu dipertahankan telah jelas.

“Malah Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta seluruh barisan kepimpinan telah buat keputusan dan penegasan bahawa perjuangan soal agama Islam, soal bangsa dan negara adalah asas perjuangan utama  UMNO yang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana sahabat dalam Kerajaan Perpaduan.

“Perkara berkenaan telah dijelaskan oleh Presiden dalam penggulungan dan semoga ianya akan memberi keyakinan kepada seluruh ahli agar kita sama-sama terus berjuang untuk memastikan perjuangan yang selama ini kita sama-sama pertahankan dan UMNO tidak mengubah apa-apa prinsipnya,” katanya kepada UMNO-Online.

Mohd Zaidi seterusnya percaya dan penuh yakin perkara tersebut akhinya akan difahami serta diterima oleh akar umbi serta seluruh rakyat dengan sebaiknya.

“Umumnya… perwakilan dapat dengar dengan jelas bahawa UMNO tetap dengan prinsipnya, tetap dengan pendiriannya untuk membela agama, bangsa dan negara.

“Moga-moga perwakilan yang datang bawa balik ke bahagian dan nyatakan bahawa parti tidak benarkan mana-mana pihak memainkan sentimen bahawa UMNO hari ini telah mengetepikan prinsip. Kita tetap dengan prinsip yang sama,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit