‘Kalih Bagi Sama’… Di Mana Songsangnya?
ALOR SETAR, 17 Jun – Di mana songsangnya kempen ‘Kalih Bagi Sama’?
Jelas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kempen itu adalah sebahagian gerakan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha menawan kembali pengundi di negeri berkenaan selain tidak melanggar amalan demokrasi di negara ini.
“Di mana songsangnya? Istilah songsang tak ada apabila tiba kempen pilihan raya, kita guna ‘Kalih Bagi Sama’ kerana ia adalah hak parti untuk berkempen. Kita tawarkan kepada rakyat Kedah jika undi BN dan PH, makna sama undi kerajaan di Persekutuan.
“Dalam amalan demokrasi ini tak salah, ada perkara lebih salah jika mencarut, maki orang, fitnah, ikut suka hati kata pada orang. Itu semua lebih dahsyat lagi daripada songsang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas UMNO Kedah di sini, malam tadi.
Jelas Mahdzir, kempen itu juga adalah tawaran BN dan PH kepada rakyat Kedah yang mahu melihat pentadbiran negeri dan Persekutuan selari, agar lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke negeri berkenaan.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa kempen ‘Kalih Bagi Sama’ yang dilancarkan PH-BN sebagai songsang dan bertentangan amalan demokrasi di negara ini.
Mengulas mengenai manifesto yang akan digunakan gabungan BN-PH sempena PRN akan datang, Mahdzir berkata tawaran itu akan merangkumi pelbagai aspek demi memastikan kesejahteraan rakyat diutamakan.
Katanya, tawaran yang akan dimuktamadkan BN dan PH dalam tempoh terdekat ini, diyakini mampu memberi keyakinan kepada pengundi dalam membuat pilihan mereka.
“Antara intipati manifesto yang dibincangkan adalah tawaran kepada wanita dan golongan belia selain aspek kesejahteraan rakyat membabitkan sektor ekonomi, pertanian, pendidikan dan sukan.
“Kita akan bawa tawaran ini untuk diputuskan BN dan PH minggu depan, jika kedua-dua pihak terima, maka kita akan bentangkan kepada rakyat pada PRN kali ini,” katanya.
Mengulas mengenai pembahagian kerusi antara BN dan PH, beliau memaklumkan proses rundingan kini di peringkat pusingan akhir untuk dimuktamadkan.
“Pembahgian kerusi sudah masuk pusingan akhir, cuma ada dua kerusi berlaku pertindihan dan kita serah pada Pusat untuk menentukan siapa yang bakal bertanding. Bagi kerusi lain, kita sudah capai persefahaman.
“Pembahagian di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan BN dan PH ada wakil di setiap kawasan Parlimen, ini bagi menunjukkan semangat perpaduan antara kita pada PRN ini,” katanya.- UMNO Online