Pasca PAU2023: UMNO Bawa Hala Tuju Jelas Demi Tempuh PRN – Fikhran Hamshi

KUALA LUMPUR, 16 Jun – UMNO telah menetapkan hala tuju parti yang jelas terutamanya selepas berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan ketika bakal menempuhi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi berkata, beliau berharap agar para perwakilan yang menghadirkan diri pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 lalu akan dapat menyampaikan segala penjelasan mengenai hala tuju politik masa kini parti.

“Saya selaku Exco Pergerakan Pemuda UMNO mengharapkan perwakilan yang terlibat secara langsung dalam PAU ini dapat menerima penjelasan mengenai situasi politik semasa dan ke mana hala tuju parti.

“Saya yakin dan percaya bahawa semua Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian juga dapat direction daripada amanat yang disampaikan,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, sudah semestinya para pimpinan setiap bahagian turut memahami satu hala tuju yang jelas lebih-lebih lagi apabila parti akan menempuhi PRN yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Apabila kita dah tahu hala tuju, kita menghampiri PRN di enam buah negeri dan ianya bakal menunjukkan penerimaan rakyat terhadap parti serta Kerajaan Perpaduan itu sendiri.

“Saya yakin dan percaya banyak ‘kerja’ yang harus dibuat tetapi sudah semestinya UMNO adalah parti teras utama untuk bangsa Melayu. Parti ini ada direction yang jelas macam mana kita nak bawa perjuangan ini.

“Para pemimpin telah memberi penjelasan sewajarnya mengenai perkara-perkara ini maka saya berharap agar para perwakilan yang datang mendapat input dan boleh bawa ke bahagian masing-masing serta memberi kemenangan pada PRN kelak,” katanya lagi.

Enam negeri akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi berikutan kerajaan negeri-negeri tersebut tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Negeri yang terlibat ialah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit