UMNO Tidak Pernah Lari Asas Penubuhan Parti Walaupun Seinci – Ahmad Jazlan

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 selain menyentuh berkaitan parti ia juga berkisarkan kebajikan rakyat.

Katanya, Presiden parti tegas menyatakan UMNO tidak pernah lari dari asas dan prinsip perjuangan sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan. 

“UMNO menyuarakan pandangan dan dengan tegas Presiden menyebut bahawa ‘seinci’ pun UMNO tidak pernah lari daripada asas-asas penubuhan parti ini sehingga ke hari ini. Inilah perjuangan parti dan beliau menjelaskan tohmahan dan tanggapan mereka yang berada di luar sana seolah-olah UMNO layu dan hilang arah tuju, ini tidak benar sama sekali.

“Tanggapan ini perlu diketahui oleh rakyat khususnya orang Melayu yang berada di luar sana bahawa UMNO tidak pernah hilang fokus, tidak pernah terlalai walaupun sedikit di dalam membawa wadah perjuangan agama, bangsa dan tanah air,” beliau berkata ketika ditemui UMNO Online, di sini baru-baru ini.

Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan bersetuju pandangan yang dilontarkan oleh Presiden parti terutamanya dalam mempertahankan dan martabat orang Melayu.

“Apakah orang Melayu inginkan terutama dalam mempertahankan kesucian agama Islam yang UMNO tidak pernah berkompromi memartabatkan orang Melayu serta menjaga tanah air.

“Beliau begitu berani menyuarakan pandangan di hadapan 19 parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan tentang apakah hasrat UMNO selain menyentuh projek-projek yang dilakukan oleh BN (Barisan Nasional) masa 2018 dapat diteruskan semata-mata untuk menaikkan taraf ekonomi rakyat,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama kata Ahmad Jazlan lagi terharu apabila Ahmad Zahid mahukan keadilan buat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai ‘Bossku’.

“Bukan untuk minta dibebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi berilah ‘keadilan’ kepada beliau dan berharap agar suara akar umbi pada PAU 2023 ini akan didengar oleh kerajaan.

“UMNO sedar bahawa parti ini bukannya peneraju kerajaan tetapi ia sebahagian dari kerajaan yang konsisten membela agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit