Naratif Baharu Pasca PAU 2023, Idea Wadah Perjuangan Bukan Sekadar Syok Sendiri – Nazif

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berpandangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang telah berlangsung lancar sebelum ini menjadi medan terbaik dalam membawa naratif baharu kepada perjuangan UMNO.

Namun begitu jelas beliau ianya perlu diaplikasi dengan sebaiknya oleh pendukung UMNO dan tidak bersifat syok sendiri.

“Untuk PAU 2023, adalah menjadi harapan untuk melihat idea-idea baharu yang dikemukakan diaplikasi lebih realistik dan konstruktif diketengahkan oleh para perwakilan termasuk dari Presiden UMNO sendiri hinggalah ke akar umbi.

“UMNO adalah wadah perjuangan dan perjalanan yang memberi impak khusus buat semua maka kita tidak mahu sesuatu idea yang lebih kepada istilah ‘syok sendiri’ dan boleh merosakkan parti berlaku.

“Justeru, dalam rumah kita ini biarlah kita diberi peluang untuk mengaplikasi segala pendapat serta pandangan, agar kita semua dapat melaksana yang terbaik untuk para ahli,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata perhimpunan ini juga adalah agenda penyatuan dalam kalangan ahli untuk merapatkan saf kekeluargaan UMNO agar nilai kesepaduan itu dicapai.

“Kerana itu, dalam rumah kita ini kita telah diberi peluang untuk menyuarakan pendapat serta pandangan, dan kita semua dapat mendengar keluh kesah para ahli.

“Pentas kita, rumah kita, bocor atap, kita tampal, retak lantainya, kita turap kembali. Kita ada musuh yang berjalan secara terang dan secara senyap untuk menguburkan UMNO.

“Maka saya mohon semua ahli UMNO rapatkan barisan bersama-sama, perbaiki diri kita sendiri untuk kita bantu memantapkan kembali UMNO yang dikasihi,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit