PAU 2023 Jadi Medan Pertautan Pimpinan, Akar Umbi Kembali Kukuh – Fikhran Hamshi

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang telah berlangsung dengan jayanya menjadi medan untuk para pimpinan, perwakilan, ahli dan akar umbi kembali bertaut selepas pelbagai peristiwa besar berlaku dalam parti.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi berkata, seiring dengan perkembangan politik yang semakin dinamik, sudah semestinya ahli-ahli parti masih keliru dengan apa yang telah berlaku terutamanya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Bagi saya, PAU 2023 ini agak berlainan daripada sebelum ini. Terutamanya dalam perkembangan politik sekarang ini.

“Kita baru sahaja selesai Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan dan ahli-ahli UMNO terutamanya ada yang masih samar dan ragu mengenai apa tindakan pemimpin sehingga membawa kita dalam Kerajaan Perpaduan.

“Mungkin PAU kali ini bercampur-baur antara ahli itu. Ada yang semangat, setelah sebelum ini ramai yang tidak tahu hala tuju parti. Jadi PAU kali ini agak berbeza daripada sebelum ini tambahan pula selepas Pemilihan UMNO ada berlaku penggantungan serta pemecatan ahli,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, para pemimpin telah menjelaskan sebaiknya isu kebersamaan UMNO/Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan (PH) pada PAU kali ini.

“Insya-Allah, kita bertaut kembali sewaktu PAU ini dan saya rasa isu pertama kita telah jelaskan iaitu mengapa kita bersama dengan Kerajaan Perpaduan. Ini agenda utama.

“Kita menjelaskannya secara fakta kerana itu bukanlah pilihan utama kita untuk bersama Kerajaan Perpaduan ini. Tetapi, kepentingan negara adalah lebih utama daripada kepentingan individu.

“Atas dasar itu, keputusan tersebut diambil untuk membina sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil demi masa depan negara. Jadi, saya melihat Kerajaan Perpaduan yang kita ada ini dapat menjamin kestabilan politik dalam negara kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu Fikhran Hamshi turut berharap agar para perwakilan yang hadir pada PAU ini telah membawa segala input dan fakta ke bahagian masing-masing.

“Saya melihat agenda Kerajaan Perpaduan ini haruslah diselami dan difahamkan kepada ahli-ahli UMNO terutamanya perwakilan yang datang pada PAU tahun ini.

“Saya harap ahli-ahli dapat menerima input dan fakta-fakta yang mereka boleh bawa ke bahagian masing-masing untuk menerangkan keadaan sebenar,” katanya lagi.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 telah berlangsung pada 7 sehingga 10 Jun lalu dan ianya akan mengumpulkan para perwakilan daripada 191 bahagian seluruh Malaysia sebagai tanda manifestasi kepada semangat perjuangan parti yang tidak pernah luntur.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa PAU pada tahun ini diadakan lebih awal kerana selepas itu akan diadakan sesi jelajah ke negeri-negeri yang akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan menggerakkan jentera. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit