Pasca PAU 2023: Ke Mana Hala Tuju UMNO?

PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2023 telah berakhir. Walaupun Barisan Nasional (BN) yang didukung UMNO kalah dua kali Pilihan Raya Umum (PRU), harapan terhadap hasil PAU sangat tinggi, malah lebih tinggi daripada perhimpunan-perhimpunan agung sebelumnya.

PAU kali ini menyaksikan kedudukan UMNO bukan lagi menjadi peneraju kerajaan, tetapi menjadi sebahagian daripada gabungan parti yang membentuk kerajaan.

Walaupun begitu, UMNO dilihat dominan dengan Presidennya yang menjadi Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. Satu portfolio yang penting dalam pembangunan orang Melayu dan Bumiputera khususnya di kawasan luar bandar.

Mengapa PAU kali ini memberi tumpuan kepada orang Melayu?

Ini kerana kerisauan orang Melayu bukan kerana gusar UMNO tidak mampu mentadbir kerajaan dengan baik, tetapi kerisauan mereka tentang keupayaan UMNO untuk menjaga kepentingan Melayu, Islam, Raja-Raja Melayu, dan berperanan sebagai pengimbang terhadap PKR yang dianggap liberal dan Dap yang dianggap cauvinis di mata orang Melayu.

Orang Melayu dan umat Islam di negara ini masih trauma dengan apa yang berlaku selepas PRU14, apabila PPBM yang menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH), malah menjadi Perdana Menteri pada masa itu, tidak mampu melindungi kepentingan Melayu, agama Islam, dan Raja-Raja Melayu.

Alhamdulillah, PAU kali ini berjaya meredakan kebimbangan dan kekusutan tersebut. UMNO kali ini sangat strategik dalam menyampaikan mesej bukan sahaja kepada wakil-wakilnya, tetapi juga kepada umat Melayu di seluruh negara.

Dalam sesi ‘Townhall Penerangan UMNO Malaysia’, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bersama Naib-naib Presiden telah menjelaskan dan memberi keyakinan bahawa walaupun UMNO hanya sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, tetapi UMNO tetap teguh dalam mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam sejak awal penubuhan kerajaan lagi.

Ini terbukti dengan respon pantas UMNO terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilapor menarik balik rayuan kes Jill Ireland yang kemudian disuarakan melalui kenyataan media beliau selepas mesyuarat kabinet.

Dalam Ucapan Dasar Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jelas dan terang menyatakan komitmen UMNO dalam memperjuangkan nasib bangsa dan mempertahankan agama tidak pernah berubah sama sekali.

Malah hingga hari ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan Islam dan kepentingan Melayu/Bumiputera melalui agensi-agensi di bawah kementerian yang dipimpin oleh menteri UMNO. Semua ini dilakukan tanpa halangan atau bantahan dari rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan.

Dalam ucapan penggulungan pula, Presiden UMNO telah mengangkat serta bersetuju dengan usul-usul yang dibawa oleh sayap dan para pembahas usul yang kebanyakannya adalah ke arah membantu meningkatkan kedudukan orang Melayu dari segi ekonomi, pendidikan dan sosial.

Ini sekali lagi isyarat jelas komitmen UMNO yang mahukan kepentingan Melayu dan Islam sentiasa menjadi agenda utama.

Oleh itu, dalam menghadapi pilihan raya di enam negeri akan datang, adalah penting bagi UMNO untuk menzahirkan keyakinan dan jaminan ini kepada orang Melayu.

UMNO perlu memberi tumpuan kepada segmen asal mereka iaitu orang Melayu dan meyakinkan orang Melayu mengenai keupayaan dan komitmen UMNO dalam menjaga kepentingan bangsa dan agama Islam sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Jika UMNO mampu memberikan keyakinan ini kepada orang Melayu, sudah pastinya UMNO tidak akan menghadapi masalah untuk memastikan kemenangan dalam enam pilihan raya negeri yang akan datang.

Salam Perjuangan.

𝗠𝗢𝗛𝗗 𝗦𝗛𝗨𝗞𝗥𝗬 𝗕𝗜𝗡 𝗥𝗢𝗦𝗟𝗔𝗡
Penulis 𝘢𝘥𝘢𝘭𝘢𝘩 𝘒𝘦𝘵𝘶𝘢 𝘗𝘦𝘯𝘦𝘳𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘜𝘔𝘕𝘖 𝘉𝘢𝘩𝘢𝘨𝘪𝘢𝘯 𝘚𝘦𝘭𝘢𝘺𝘢𝘯𝘨. 𝘔𝘢𝘯𝘵𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘯𝘤𝘦𝘳𝘢𝘮𝘢𝘩 𝘥𝘢𝘯 𝘛𝘦𝘯𝘢𝘨𝘢 𝘗𝘦𝘯𝘨𝘨𝘦𝘳𝘢𝘬 𝘉𝘪𝘳𝘰 𝘛𝘢𝘵𝘢𝘯𝘦𝘨𝘢𝘳𝘢. 𝘈𝘬𝘵𝘪𝘷𝘪𝘴 𝘴𝘦𝘳𝘵𝘢 𝘱𝘦𝘯𝘤𝘦𝘳𝘢𝘮𝘢𝘩 𝘣𝘦𝘣𝘢𝘴 𝘶𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘭𝘪𝘵𝘦𝘳𝘢𝘴𝘪 𝘱𝘰𝘭𝘪𝘵𝘪𝘬, 𝘱𝘦𝘳𝘭𝘦𝘮𝘣𝘢𝘨𝘢𝘢𝘯 𝘥𝘢𝘯 𝘯𝘢𝘴𝘪𝘰𝘯𝘢𝘭𝘪𝘴𝘮𝘦.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit