Isu Pengangguran, Tingkat Ekonomi Rakyat Jadi Perhatian Puteri UMNO

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Pergerakan Puteri UMNO memainkan peranan yang cukup penting bagi memberi penjelasan dan perhatian berkaitan mengemudi ekonomi negara.

Menurut Jurucakap Usul dari Melaka, Nurul Amirah Mohd Yusof berkata pengangguran graduan amat membimbangkan dan sewajarnya menteri-menteri di dalam kabinet harus menitikberatkan peluang perkerjaan dan mempertingkatkan ekonomi negara.

“Isu pengangguran graduan yang sangat membimbangkan ini kepada perhatian sidang dewan perwakilan agar menteri-menteri yang berkaitan perlu melihat dan harus tahu bagaimana untuk mengemudi ekonomi negara.

“Membuat polisi atau dasar yang tepat dan menarik serta mengurus pelaburan yang betul-betul memberikan manfaat kepada graduan negara kita,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Ketua Puteri pada Perhimpunan Agung Pergerakan itu, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis lalu.

Bagi Jurucakap Usul dari Sabah, Siti Norfianah Piddin mengharapkan kerajaan negeri dan Persekutuan dapat mempertingkat kadar ekonomi Sabah serta membawa pelabur asing melabur di Sabah.

“Apabila kembalinya kestabilan politik negeri Sabah pertumbuhan ekonomi Sabah pastinya akan terus meningkat, kestabilan inflasi dan kadar penurunan isu pengangguran. Justeru itu para pelabur asing akan lebih yakin memberikan pelaburan di negeri Sabah,” ujarnya.

Sementara itu Siti Nor Asyikin Ramlan dari Negeri Sembilan menegaskan jentera-jentera Puteri perlu memahami kemelut politik supaya mudah berurusan dengan pengundi terutamanya anak-anak muda.

“…kot ‘ado pistol peluru tak ado pon tak jadi, jadi kito bagi peluru supayo tembakan eh mampu melenyapkan musuh’. Jentera Puteri perlu fahami lebih dahulu kemelut politik hari ini supaya ia mudah memberikan jawapan balas kepada pengundi lebih-lebih lagi pengundi muda.

“Pemimpin cakna turun jumpa rakyat jumpa pengundi lebih menjadi pilihan rakyat. Jentera Puteri hari ini perlu bersedia dalam berdepan PRN (Pilihan Raya Negeri). Jentera puteri bukan lagi hanya meramaikan jemaah dan mencukupkan korum. Tolong ubah mentaliti ini, libatkan diri dalam kempen dan kita gerak bersama,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit