TVET: KPT Timbang Penubuhan Politeknik Swasta Diterajui Pihak Industri

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempertimbangkan penubuhan politeknik swasta yang diterajui pihak industri bagi meningkatkan kualiti dan nilai kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata cadangan itu selari dengan rangkaian inisiatif KPT yang sedang meletakkan bidang TVET dan pengajian politeknik setanding universiti.

“TVET ini bukan sahaja tentang kemahiran vokasional dan teknikal tetapi keupayaan mengendalikan teknologi, ia mesti dipersembahkan sebagai saluran masa depan yang bernilai cerah… (jadi) antara yang sedang kita usahakan termasuklah membuka lima Pusat Asasi TVET yang akan menjadi saluran terus kepada semua universiti teknikal di seluruh negara bermula tahun ini.

“(Selain itu) kolej-kolej komuniti di seluruh negara pula akan membuka ruang seluas-luasnya untuk semua masyarakat mengikuti kursus-kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat tanpa perlu mempunyai apa-apa kelayakan awal,” katanya.

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika menggulung ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sementara itu, beliau berkata semua lulusan diploma daripada politeknik akan berpeluang memindahkan kredit dan melompat terus ke tahun kedua sekiranya menyambung pengajian di universiti-universiti teknologi dan teknikal.

“Agenda pemerkasaan TVET adalah penting dalam memastikan ia menjadi bidang fokus dan pilihan di negara ini… kita kini di landasan yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata KPT akan bekerjasama dengan kementerian lain dalam usaha menyediakan ekosistem pendidikan tinggi yang bersifat promahasiswa.

Beliau berkata sebagai wakil UMNO di dalam kerajaan, satu daripada fokusnya ialah memperjuangkan disiplin Pengajian Melayu yang melibatkan aspek masyarakat, ekonomi, pendidikan dan teknologi Melayu. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit