Puteri UMNO Terbang Lebih Tinggi Bawa Peranan Memperkasa UMNO – Nooryana

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Wakil pembahas Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nooryana Najwa Najib percaya dengan kebolehan sayap parti ini untuk terbang lebih tinggi dalam membawa peranannya memperkasa UMNO.

Katanya, ini dapat dilihat apabila hanya dalam masa dua bulan sahaja Puteri UMNO telah berjaya menarik minat golongan wanita muda untuk bersama dengan mereka melalui pendaftaran seramai 4,957 ahli baharu.

“Jadi, tuan-tuan dan puan-puan, siapa cakap yang anak muda tidak lagi minat untuk masuk UMNO? Kalau nak tarik anak muda, ia bermula dengan ‘engagement’.

“Jika ada sesiapa yang dah mula aktif kat dalam Tik Tok dan saya tau ramai termasuk lah otai-otai UMNO sudah mengikut trend anda lihat sendiri, Puteri sudah mula masuk #foryourpage di Tik Tok dengan kandungan yang anak muda suka serta memberi ulasan tentang isu-isu semasa,” katanya.

Nooryana berkata demikian pada hari kedua sesi perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Dalam pada itu beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai turut sama meluahkan kebimbangan dengan beberapa trend yang berlaku pada golongan muda masa kini.

Jelas Nooryana ini kerana trend menunjukkan semakin ramai anak muda tidak mahu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi serta kadar pengangguran di Malaysia yang mencatatkan sebanyak 200,000 dalam kalangan para graduan.

“Kerajaan harus melabur dalam projek yang boleh membawa pulangan besar. Ini bukan satu pembaziran. Tetapi bayangkan limpahan ekonomi yang bakal dikecapi dari projek-projek ini.

“Contohnya pada tahun 2017, MRT Kajang ke Sg Buloh hanya satu laluan sahaja dapat menjana sebanyak 130,000 peluang pekerjaan dan berpotensi meningkatkan GNI negara sebanyak RM4 billion.

“Di samping itu, sektor swasta dan sektor awam haruslah berganding bahu dalam merapatkan jurang ilmu dan kemahiran para graduan dalam usaha untuk memenuhi keperluan industri,” ujar beliau.

Jelas beliau ini sebagai langkah untuk meningkatkan keupayaan anak-anak muda untuk tidak hanya berkemampuan di pasaran Malaysia sahaja namun berupaya menjadi pemain global bertaraf antarabangsa. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit