Pilih Kerajaan Yang Bertanggungjawab, Bukan Yang ‘Perjudikan’ Rakyat Dengan Air Karat
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Pembahas Negeri Kelantan Norwahida Patuan berkata proses pilihan raya bukanlah soal parti semata-mata tetapi yang lebih utama adalah untuk memilih kerajaan yang boleh membantu rakyat dengan sebaiknya.
Kata Ketua Wanita UMNO Negeri Kelantan itu, politik juga berhubung kait dengan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin sebagaimana saranan Nabi Muhammad SAW.
“Nabi pandang apa yang kita buat untuk rakyat, ke arah mana membantu rakyat. Itulah tanggungjawab seorang pemimpin. Kelantan tiada kedai judi tetapi rakyat di Kelantan telah lama ‘diperjudikan’.
“Pemimpin Pas Kelantan beli kereta, kumpul harta, beli tanah… itu sahaja yang mereka pandai… isu air berkarat… kerajaan negeri seperti itu juga… kebajikan rakyat langsung tak jaga, berbicara syurga neraka tetapi kebajikan rakyat?,” tegasnya dalam sesi perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Tambahnya, pelbagai lagi hak-hak rakyat negeri itu tidak dipedulikan oleh kerajaan negeri dan begitu juga masalah sosial yang semakin meruncing masih gagal dikekang oleh mereka walaupun mendakwa sebagai kerajaan Islam.
Menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) khususnya Kelantan, Wahida berkata jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapinya bersama rakan strategik yang baharu bagi mencapai kemenangan.
Dalam ucapannya juga, Wahida turut mengulas terbentuknya Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah ketentuan yang perlu diterima dengan terbuka dan berlapang dada.
“Peranan UMNO perlu terus diperkasa dan setiap dasar yang dibuat akan terus menjunjung institusi Raja dan meletakkan kepentingan agama dan bangsa di hadapan. Kita terus mencari titik persamaan dalam kepelbagaian ini.
“Untuk itu dimohon agar segala kemusykilan dalam diri ahli diperjelaskan dan pertelingkahan dalam parti diuraikan dan carilah penyelesaian yang menguntungkan parti,” kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Jeli itu lagi.
Begitu juga katanya, UMNO akan terus menyumbang dengan kestabilan politik dan berpegang semangat perpaduan.
“Berupaya untuk mencapai kompromi yang menguntungkan semua pihak dan memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan agama Islam. UMNO mesti dilihat jelas dan tegas mendukung prinsip parti khususnya dalam menegakkan agama Islam di hadapan, Melayu dibela dan Raja-Raja dipertahankan.
“UMNO Kelantan tidak akan berkompromi sekiranya Islam dan Melayu digugat,” tegasnya.
Jelasnya lagi, walaupun agama Islam dan bangsa Melayu adalah teras di negara ini dan mesti diakui serta tidak boleh dipertikai tetapi dalam masa sama tidak boleh dinafikan hak bangsa lain kerana kemajmukan kaumlah yang menjadikan negara ini aman dan makmur. – UMNO ONLINE #NegaraBangsaPAU2023