Pengendali E-Hailing Dan P-Haling Alu-alukan Perjuangan UMNO, Harap Ada Noktah Bela Nasib Mereka

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Sekretariat NGO & Kesatuan Sekerja UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin hari ini menerima kunjungan pengendali GIG (E-Hailing dan P-Haling) di negara ini selain menerima memorandum berkaitan Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia (SEGM).

Walaupun perkara berkenaan telah dicadangkan oleh Ahmad Zahid menerusi ucapan dasarnya semalam, namun hari ini mereka tetap tampil untuk menyerahkan memorandum tersebut agar apa yang menjadi permasalahan selama ini diperjelaskan sebaiknya.

Ahmad Zahid sejurus meneliti memorandum tersebut yang diserahkan Presiden Persatuan Persatuan P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Zulhelmi Mansor berkata memorandum berkenaan dihantar untuk membela nasib-nasib pekerja dalam sektor berkenaan.

“Datuk Seri Sharkar yang juga Ketua Sekretariat NGO & Kesatuan Sekerja UMNO Malaysia telah membawa perkara ini kepada saya lebih awal dan hari ini mereka datang bukan hanya sekadar untuk menyerahkan memorandum malah untuk mengucapkan terima kasih atas inisiatif UMNO yang membawa perkara ini dan UMNO akan memperjuangkan nasib pekerja GIG di seluruh negara, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Sharkar dalam kenyataan ringkas berkata perlu ada satu badan kawal selia berkaitan sektor berkenaan dalam usaha menjaga kepentingan serta kebajikan pengendali di dalam sektor berkenaan di seluruh negara.

“Kita lihat sektor ini sedang berkembang di seluruh dunia dan apabila kami diberikan tanggungjawab kita mendapati ianya tidak ada satu badan kawal selia yang mampu berada dalam ekosistem ekonomi berkenaan.

“Jadi sebab itulah apabila kita berbincang dengan semua NGO (badan bukan kerajaan) yang ada ini kita dapati bahawa ini satu perkara baharu dalam sistem ekonomi Malaysia. Oleh itu perlu adanya suruhanjaya untuk kawal selia sebab ada 10 kementerian yang terlibat dalam sektor ini. Ini adalah komitmen kami dan yakin kita mampu bergerak. Kita mahu jadikan ini (pengendali GIG) sebagai satu karier,” ujarnya.

Sementara itu, Zulhelmi mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid yang membawa isu berkenaan dan mengalu-alukan cadangan tersebut.

“Semalam Presiden UMNO telah menyebut soal ini agar diwujudkan Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia. Jadi kami hari ini yang terdiri daripada Persatuan Penghantar P-Hailing (PENGHANTAR), Gabungan E-Hailing Malaysia dan MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia) melahirkan rasa syukur dan mengalu-alukan.

“Kita rancang nak serahkan memorandum hari ini tetapi perkara ini telah disebutkan semalam oleh Ahmad Zahid… dan kita ingin mengucapkan terima kasih kerana membawa perjuangan kami sekian lama.

‘Kita merasa cukup bersyukur dan ‘rider-rider’ di luar sana pun gembira dengan perkembangan ini dan masalah ini telah berlaku saban tahun dan kita memperjuangkannya sekian lama dan ini adalah kesinambungan lima resolusi tuntutan hak penghantar dan kita melihat Suruhanjaya Ekonomi GIG ini akan menjadi badan kawal selia untuk mengurus, menstruktur segala masalah yang ada pada hari ini yang mestil dilihat dan diambil tindakan oleh kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu Gabungan E-Hailing Malaysia yang diwakili aktivisnya, Jose Rizal berterima kasih kepada UMNO yang memperjuangkan isu ini dan berharap adanya titik noktah terhadap perjuangan yang dibawa selama ini.

“Semalam Ahmad Zahid umumkan cadangan untuk kerajaan menubuhkan Suruhanjaya berkaitan ekonomi GIG ini dan Alhamdulillah ianya amat bertepatan dengan aspirasi kami sebagai pengendali yang mana kemelut yang membelenggu ekonomi GIG tidak ada kesudahan.

“Jadi kami berharap dengan cadangan ini dapat memberikan sinar baharu kepada penggiat ekonomi GIG di Malaysia. Kami sarankan agar kerajaan sahut dan jayakan cadangan yang dikemukakan ini,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit