Gerai Jualan Sempena PAU2023 Bolehkan Peniaga Atas Talian Perkenal Produk

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Dengan adanya pesta jualan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ini, lebih ramai usahawan kecil yang menjalankan perniagaan secara atas talian boleh memperkenalkan produk mereka secara bersemuka kepada pelanggan.

Berdasarkan tinjauan UMNO Online, pelbagai produk yang dijual oleh para peniaga termasuklah makanan sehinggalah ke barang pakaian dengan harapan agar pelanggan mengenali produk mereka.

Pengasas jenama ‘Daun’ yang menjual tudung dan juga sampin, Syazana Mohamad, 39, berkata, para pelanggan tidak putus-putus melewati reruai mereka bagi mendapatkan barang dihajati.

“Alhamdulilah PAU pada kali ini meriah. Reruai yang disediakan pun berada dalam keadaan baik, para pelanggan yang datang menyokong dan membeli pun ramai. Daripada hari pertama sehingga ke hari ini, pelanggan tidak putus-putus.

“Kami menjual tudung yang diperbuat daripada satin silk, ada juga shawl malas, stoking serta sampin. Semuanya harga mampu milik namun materialnya berkualiti. Setakat ini, sebanyak 50 helai tudung dianggarkan telah terjual,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Syazana, gerai jualan yang dianjurkan sempena PAU ini cukup membuatkan jenama ‘Daun’ dikenali oleh para pelanggan yang kebanyakannya menjadi perwakilan.

“Sebenarnya ini adalah satu-satunya program yang saya sertai untuk buka ‘booth’. Sebelum ini kami hanya menjual secara atas talian.

“Rasanya tidak keterlaluan sekiranya saya cakap melalui PAU ini kita dapat pasarkan jenama ‘Daun’ ini dengan lebih luas agar diketahui ramai. Bahkan ramai pelanggan dari PAU ini meminta agar kami mengeluarkan edisi terbaharu pada PAU akan datang,” katanya lagi.

Manakala peniaga produk ‘Popiah Crunchy Sweet and Crispy’, Putri Nerina Soraya, 21, berkata, beliau memperoleh jualan yang memberangsangkan dengan membuka reruai sempena PAU ini.

“Alhamdulilah setakat ini jualan memberangsangkan cuma semasa hari pertama reruai dibuka sahaja tidak ramai pelanggan yang singgah. Sekarang ini dah hari ketiga, semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja.

“Dalam sehari, kami boleh jual dalam 20 balang keropok popiah. Menerusi program yang dianjurkan ini, ramai prospek boleh tahu produk yang kami pasarkan sebab sebelum ini kami hanya berniaga secara atas talian. Dengan adanya reruai ini, lebih ramai orang mengenali produk kami ini,” katanya kepada UMNO Online.

Sementara itu, peniaga daging dendeng dan nasi himpit turun-temurun, Saleha Abdullah berkata, meskipun hanya menjual makanan tradisi, program seperti ini sudah semestinya membantu beliau untuk melariskan jualan.

“Alhamdulilah syukur, walaupun saya hanya menjual daging dendeng dan nasi himpit, ramai pelanggan yang sudi untuk rasa ‘tester’ saya sediakan dan membeli makanan dijual ini.

“Saya akan sertai gerai jualan ini setiap tahun apabila PAU diadakan kerana saya yakin bahawa saya akan dapat pulangan banyak. Harap dapat diteruskan sampai bila-bila,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit