Fokus Pendidikan Anak Bangsa Satu Tindakan Yang Tepat – Wakil Perlis
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Wakil Perlis Zaini Meh @ Hussin berkata fokus Presiden UMNO dalam ucapan dasarnya semalam mengenai pendidikan anak bangsa terutama Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) dan melahirkan generasi huffaz merupakan satu tindakan yang tepat.
Ujarnya, selain TVET dan tahfiz al-Quran, penubuhan Tabung Pendidikan Melayu juga adalah untuk membentuk modal insan bagi generasi muda.
“Sebagai seorang guru dan pendidik, bagi saya TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan. Peluang pekerjaan lepasan TVET akan menjadi lebih terjamin dan ia pendidikan yang berasaskan kepada latihan industri.
“Permintaan daripada industri berkenaan pelajar lepasan TVET ini akan menjadi lebih baik bahkan (lepasan TVET) berpeluang menjadi usahawan,” katanya di hari kedua sesi perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.
Tambah Setiausaha UMNO Bahagian Padang Besar itu lagi, usaha kerajaan menubuhkan tahfiz di peringkat awal pendidikan adalah satu usaha yang cukup baik tetapi mestilah tenaga pengajarnya terdiri daripada mereka yang selari dengan perjuangan parti.
“Tahfiz di peringkat tadika adalah sesuatu yang cukup baik. Saya memberi cadangan pengajar yang akan dipilih untuk mengendalikan kelas-kelas mesti oranglah yang berlatarbelakangkan UMNO.
“Kena semak dan pemilihan yang betul-betul bagi mengelakkan ia menjadi senjata untuk menentang kita pula suatu hari nanti,” ujarnya.
Ini katanya bagi membendung sesetengah parti sejak dahulu lagi yang menggunakan pusat pendidikan mereka sebagai pusat menanam kebencian kepada UMNO.
Begitu juga katanya usaha penubuhan Tabung Pendidikan Melayu yang sangat baik itu sepatutnya telah ditubuhkan sejak dari dahulu lagi.
Dalam ucapannya, Zaini menyeru kepada semua barisan kepimpinan baik di pusat mahupun akar umbi bersama-sama dengan presiden membawa parti ke arah kejayaan.
“Kita kena saling bekerjasama dan meningkatkan kerjasama ke arah kejayaan. Bantu-membantu dalam satu organisasi yang cukup kuat. Saya berharap tiada lagi kenyataan-kenyataan menyerang sesama sendiri seperti dahulu.
“Kepada ketua-ketua bahagian yang lama berilah tunjuk ajar kepada ketua-ketua bahagian yang baharu. Bantulah untuk sama-sama menaikkan UMNO ini,” katanya.
Berhubung dengan kerjasama dengan parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan, beliau menyeru semua pihak saling hormat-menghormati, melakukan anjakan paradigma, bersedia melakukan perubahan serta menyesuaikan dengan keadaan politik semasa dan ujian pertama adalah menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri dalam masa terdekat ini.
Enam negeri tersebut adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. – UMNO ONLINE