UMNO Perlu Rangka Strategi Efektif, Tarik Semula Sokongan Rakyat – Pemuda Titiwangsa

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Ahli dan akar umbi perlu merangka strategi yang efektif bagi menarik semula kepercayaan rakyat khususnya orang Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Mohd Fitri Che Ree berkata, barisan kepimpinan sedia ada dan akan datang berperanan penting dalam menentukan nasib parti yang seterusnya.

“Pertamanya, saya melihat ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tadi amat baik sebab beliau menyentuh mengenai pimpinan akan datang. Saya melihat perkara ini amat penting dalam menentukan nasib jatuh bangun parti.

“Beliau memberikan penekanan kepada Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO dan sudah semestinya ia disertai dengan tanggungjawab besar bagi mewarnai landskap politik parti semula pada masa akan datang.

“Proses peremajaan parti ini tidak semestinya berlaku pada musim pemilihan lepas sahaja kerana ianya perlu berterusan sama ada di peringkat cawangan, bahagian dan juga atasan,” katanya kepada UMNO Online selepas Persidangan Sayap sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) semalam.

Jelasnya, pelan tindakan untuk memulihkan semula kekuatan parti yang bakal dikendalikan oleh sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO perlu dilakukan dengan segera.

“Saya juga tertarik dengan ucapan Timbalan Presiden tadi berkenaan perlu adanya satu blue print agenda Melayu. Apa sebenarnya agenda Melayu yang UMNO perlu bawa ke hadapan dan ianya perlu dikemudikan oleh sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri.

“Kita perlu melihat masa depan UMNO kerana Pergerakan Pemuda dan Puteri yang akan menggerakkannya. Bagi saya, penting untuk kembalikan semula kepercayaan pengundi-pengundi luar terhadap UMNO pada masa akan datang.

“Kalau bukan untuk PRN sekali pun, kita buat untuk PRU. Kita mahu melihat UMNO yang progresif dan keterhadapan pada masa akan datang. Kerangka tersebut perlu dibuat daripada sekarang,” katanya lagi.

 

Dalam pada itu, Mohd Fitri turut berharap agar para perwakilan yang bakal bersidang esok menjadikan himpunan ini sebagai wadah untuk menyuntik idea-idea bernas dan kembali bersatu meneruskan perjuangan parti.

“Selamat bersidang kepada semua, jadikanlah medan ini untuk mencurahkan pandangan dan idea. Berbahaslah secara baik dan tuntas.

“Jadikan persidangan ini sebagai medan untuk penyatuan dan memantapkan semula parti,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit