UMNO Mesti Perkukuhkan Pengkaderan Politik – Sollehin

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Pembahas Perak Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berharap kerjasama daripada ahli parti amat diperlukan agar dapat membangunkan semula UMNO.

Ketika berucap membahaskan usul ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, beliau berkata UMNO perlu serius dalam perkaderan kepada ahli khususnya anak-anak muda supaya mereka dapat memahami perjuangan UMNO.

“Kita harus ada pertubuhan perkaderan parti dan setiap ahli parti harus faham kenapa dia masuk UMNO. Bukan sekadar ikut-ikutan dan ahli parti harus faham kenapa UMNO menjadi pilihan bukannya parti lain menjadi pilihan.

“Jumlah ahli bukannya penentu kekuatan tetapi kekuatan jati diri ahli itu yang sebenarnya menjadi senjata utama buat parti. Jangan pernah anggap anak muda sebagai ancaman kerana pemuda, puteri ini adalah penyambung legasi warisan.

“Janganlah kita biarkan mereka sesat dek kerana cantas mereka, potong mereka dan sebagainya,” beliau berkata demikian di Dewan Merdeka, WTCKL pada PAU 2023, di sini hari ini.

Sollehin yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang mengharapkan pemimpin-pemimpin UMNO di bahagian-bahagian harus berjiwa besar dan beri ruang pada anak muda.

“Kita harus berjiwa besar, harus beri ruang kerana kita ‘political operator’. (Jawatan) Bahagian ini bukannya menentukan jadi calon… belum tentu tetapi harus jadi ‘ayah’ yang bangga kerana anak didik berjaya.

“Apabila tidak menjadi calon janganlah membuang masa dengan sabotaj parti dan inilah punca kanser parti. Adakah kita nak biarkan anak-anak muda dek kerana kita nak kekal berkuasa dan akhirnya kita halang anak-anak muda untuk berkembang,” katanya lagi.

Selanjutnya, Sollehin menyokong ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang konsisten membantu nasib orang Melayu dan Bumiputera.

“Sudah tiba masanya kena bina polisi yang mampan dan lebih panjang bukannya bersifat sementara. UMNO harus bangkit bersistem dan konsisten membawa isu-isu Bumiputera bukannya bersifat sementara,” ujarnya.

Dalam masa yang sama tambah Sollehin lagi, ahli parti harus mempertahankan institusi Presiden agar imej UMNO perlu dilihat sebagai parti masa hadapan negara dan bukan sebagai parti sejarah.

“Bertukar tiga kali Presiden undi Melayu akan menyusut. Isu ini bukannya isu Presiden dan isunya adalah kita tidak mempertahankan institusi tersebut.

“Kita harus bergadaikan batang tubuh untuk pertahankan Presiden. Biar panah menimpa tubuh kita jangan kena pada institusi Presiden dan kami dari Perak sanggup menjadi benteng pertahanannya,” ujarnya.

Terdahulu, Presiden UMNO telah merasmikan persidangan PAU 2023 yang berlangsung hari ini hingga 10 Jun yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin utama parti dalam Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit