Ucapan Dasar Presiden Memberangsangkan, Penuh Fakta Membangun Negara Bangsa – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpandangan bahawa ucapan dasar yang disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebentar tadi amat memberangsangkan dan penuh dengan fakta terutamanya dalam membangun negara bangsa.

Jelasnya berdasarkan intipati ucapan dasar itu, UMNO akan sentiasa mempertahankan perlembagaan negara yang berkaitan dengan agama, bangsa dan institusi raja-raja.

“Pada saya, ucapan dasar itu tadi terangkum di dalamnya, berkait dengan perpaduan negara di samping menolak politik pelampau, golongan ekstrem dalam menjadikan wadah perjuangan UMNO progresif serta sederhana. Sangat memberangsangkan, baik dan penuh dengan fakta terutamanya untuk membangun negara bangsa.

“Beliau ada menyebut mengenai UMNO akan terus mempertahankan perlembagaan negara yang berkaitan dengan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, bahasa, hak Melayu dan bumiputera serta mempertahankan raja-raja.

“Lanjutan daripada itu, beliau telah memberikan satu syor bahawa Kerajaan Perpaduan akan meneruskan aktiviti ekonomi, pendidikan orang Melayu terutamanya di luar bandar. Beliau turut menjelaskan bahawa perjuangan UMNO bersama Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri tidak mengenepikan bangsa dan kaum lain dalam negara,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Mahdzir lagi, jumlah pendaftaran ahli baharu yang didominasikan oleh anak-anak muda menunjukkan bahawa golongan tersebut berminat dan mahu aktif bersama-sama membawa perjuangan parti.

“Alhamdulilah, itu petunjuk bahawa sebenarnya anak muda juga mahu bersama dengan UMNO disamping turut terlibat menjadi ahli, mereka mahu aktif bersama-sama membawa perjuangan parti. Ini merupakan sesuatu yang baik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar para perwakilan yang hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 ini dapat mengikut prosedur ditetapkan di samping meneliti segala perbahasan yang berlangsung.

“Para perwakilan yang hadir ke persidangan, saya pohon agar ikutlah prosedur ditetapkan dan hormati persidangan ini.

“Kita penuhi dewan, hadir dan meneliti setiap daripada ucapan yang akan dibentangkan oleh para pembahas,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit