PRN: UMNO/BN Negeri Sembilan Tekad Jadi Penyumbang Utama Pembentukan Kerajaan Perpaduan Negeri

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias akan memastikan UMNO/Barisan Nasional (BN) mampu menjadi penyumbang utama kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Secara fakta ujarnya, Kerajaan Negeri Sembilan yang ada kini adalah kerajaan yang ‘zero opposition’ (tiada pembangkang).

“Justeru, berlandaskan kepada senario di Negeri Sembilan yang harmoni, seimbang dan stabil, sewajarnya kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) diteruskan bagi pembelaan rakyat yang lebih konsisten.

“Bagi membugar ucapan dasar Presiden berteraskan ‘mempertahankan keindukan demi kestabilan’, saya dan seluruh jentera UMNO Negeri Sembilan sudah berada dalam mood bersedia dan solidariti pada tahap tertinggi, bagi memastikan Negeri Sembilan adalah milik Kerajaan Perpaduan, Insya-Allah,” kata Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dalam satu kenyataan kepada UMNO Online di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Jalaluddin berkata pada hari ini UMNO sedang menelusuri sebuah penciptaan sejarah baharu dalam landskap politik tanah air.

Jelasnya, kehadiran Perdana Menteri dan rakan-rakan politik dari gabungan Kerajaan Perpaduan ke Perhimpunan Agung UMNO 2023 mencerminkan realiti politik Malaysia yang penuh dinamika.

Tambah beliau lagi, realiti politik masa kini membawa parti ke arah pembentukan ‘Unity Government’ bagi menyelesaikan polemik politik yang selama ini merencatkan kestabilan dan menyekat penjanaan ekonomi negara serta rakyat.

“Bagi mengurus segala tohmahan atas keputusan UMNO membentuk ‘Unity Government’ ini, serangan dan propaganda jahat di luar yang menyebut bahawa UMNO telah menggadaikan perjuangan asalnya, pada hari ini YAB Presiden telah menyebut secara terang dan jelas bahawa UMNO tidak akan sesekali mengkhianati amanah agama, bangsa dan tanah air ini.

“Parti ini juga telah memberi penegasan kepada rakyat dan kepimpinan kerajaan semasa mengenai prinsip parti sebagai pelindung dan benteng kepada asas-asas keindukan bernegara, agar Islam, Institusi Beraja, Melayu/Bumiputera dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan terus dipertahan dan tidak dipertikai,” katanya.

Justeru katanya UMNO yang kini tetap sama seperti dahulu dari segi nadi perjuangannya.

“Ia lahir atas nama kebangkitan rakyat dan maruah negara, tidak akan sesekali membiarkan Malaysia terpalit dengan mainan konflik politik yang akhirnya menghilangkan elemen kestabilan dalam negara,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit