Hafiz Ajak Seluruh Ahli Dan Pimpinan Terus Perkasakan Institusi Pemuda
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin mengajak seluruh ahli dan pimpinan selain pendukung serta penyokong pergerakan itu untuk sama-sama menambahbaik institusi Pemuda dan parti UMNO dalam usaha membina generasi.
Menerusi ucapan pembukaan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO semalam, beliau yang membentangkan laporan gerak kerja Pemuda berkata umum tahu bagaimana parti telah pun selesai mengadakan pemilihan dan memilih barisan kepimpinan baharu untuk menerajui kepimpinan pergerakan berkenaan.
Sambil mengucapkan tahniah kepada yang terpilih, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh perwakilan yang membuat pilihan dan sama-sama terlibat menjayakan proses demokrasi di dalam UMNO baru-baru ini.
“Umum tahu, dua bulan yang lalu kita baru sahaja selesai proses pemilihan bagi penggal 2023-2026. Setinggi-tinggi ucapan tahniah atas pencapaian dalam siri pemilihan tersebut. Terutamanya, buat barisan baharu kepimpinan utama pergerakan Pemuda, barisan exco, barisan kepimpinan bahagian-bahagian dan seluruh barisan pegawai yang dilantik. Tahniah semua.
“Setinggi-tinggi ucapan tahniah buat seluruh perwakilan yang tidak terkecuali terlibat dalam proses demokrasi pemilihan parti. Saya percaya seluruh perwakilan sedar akan tanggungjawab mengetengahkan pemimpin-pemimpin muda yang berkeupayaan mengemudi institusi, dan paling utama berupaya menawan hati dan fikiran ahli parti, dan juga rakyat kebanyakan.
“Saya yakin untuk menyatakan, saudara-saudara telah memilih pemimpin dengan rasa kebertanggungjawaban bersama. Kerana seluruh perwakilan sedar, hasil dari tangan saudara-saudara yang menaikkan pemimpin-pemimpin muda ini yang kemudiannya akan dinilai pula oleh rakyat, dari kaca mata rakyat. Di masa akan datang penilaian rakyat pula akan menentukan untung nasib kelangsungan hayat parti keramat ini. Parti kita semua. Parti UMNO yang kita sayangi,” katanya.
Meneruskan ucapannya beliau seterusnya menambah pekerjaan membina institusi itu satu ibadat dan perlu dilaksanakan sebaiknya dengan penuh perancangan serta pelaksanaan yang menyeluruh.
“Allah itu suka pada hambaNya yang punya sifat ITQAN iaitu teliti dalam pekerjaan. Usia muda yang datangnya dengan nikmat banyak tenaga, kita wajar sehabis guna untuk teliti berkerja demi kepentingan parti.
“Saya mengajak semua yang berada di dewan ini, juga ahli-ahli parti yang berada di seluruh tanah air untuk sama-sama kita singsing lengan, duduk teliti dan tekun bekerja dalam menambahbaik institusi Pemuda dan parti UMNO dalam usaha kita membina generasi,” ujarnya. – UMNO Online