Azalina Tegaskan Perhimpunan Agung UMNO Tonggak Penting Perjalanan Perjuangan Parti

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun ini adalah tonggak penting dalam perjalanan perjuangan parti.

Ini kerana katanya, ia memberi kita peluang untuk mengukuhkan semangat solidariti, memperkukuhkan prinsip-prinsip parti dan membina momentum bagi melangkah ke hadapan.

“Saya berharap agar kita semua dapat bersatu padu, menghadapi setiap cabaran dengan keberanian, dan terus berjuang demi kejayaan UMNO dan kepentingan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan PAU2023, hari ini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) merakamkan kesyukuran kerana dalam perjalanan panjang perjuangan politiknya sejak 2004, beliau dapat menghadiri satu lagi PAU pada tahun ini.

“Sepanjang perjalanan ini, saya telah menyaksikan banyak perubahan, tantangan dan kemenangan dalam mempertahankan prinsip-prinsip yang termeteri dalam Perlembagaan UMNO.

“Sebagai seorang ahli parti, saya telah memperjuangkan prinsip-prinsip yang dihormati dan dipertahankan oleh UMNO. Menjunjung tinggi keadilan, kebebasan dan kepentingan rakyat adalah komitmen utama saya sejak awal melangkah dalam perjuangan ini.”

Ujarnya, setiap tahun, Perhimpunan Agung UMNO adalah titik pertemuan yang penuh makna, iaitu ribuan perwakilan dari serata negara berkumpul untuk mengukuhkan dan menyemarakkan semangat perjuangan yang dilandasi oleh perlembagaan parti.

“Sebagai Ketua Penerangan UMNO, tanggungjawab saya juga semakin meningkat. Saya berbesar hati untuk dapat berkhidmat dan menyampaikan mesej-mesej penting mengenai prinsip-prinsip dan hasrat UMNO kepada rakyat Malaysia melalui perwakilan dan libat urus.

“Menjadi penghubung antara parti dan masyarakat adalah satu amanah yang saya terima dengan sepenuh hati dan saya berusaha sedaya upaya melaksanakan tanggungjawab ini. Ini termasuk, buat pertama kali dalam sejarah Perhimpunan Agung UMNO, diadakan sesi Townhall melibatkan tiga Naib Presiden bersama kesemua ketua penerangan UMNO dari seluruh negara,” katanya berhubungan sesi Townhall Penerangan UMNO Malaysia yang berlangsung pada Rabu lalu.

Azalina turut merakamkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi di atas penghargaan yang dituturkan kepadanya dan Menteri Luar berkaitan kejayaan Sekretariat Sulu mengenepikan tuntutan individu mendakwa pewaris Sulu di Mahkamah Rayuan Paris sebanyak US$15 bilion.

“Saya juga ingin mengulangi seruan dilafazkan YAB Datuk Seri Presiden bahawa parti keramat ini tetap mempertahankan empat perkata yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terutama kedudukan Islam, Bumiputera dan institusi Raja-Raja Melayu.

“Perlembagaan UMNO pula sentiasa menjadi panduan utama dalam perjuangan ini. Ia adalah sumber kekuatan dan pegangan yang memberi arah kepada setiap tindakan dan keputusan yang kita ambil.

“Sebagai Ketua Penerangan UMNO, saya juga menyokong penuh terhadap jaminan diberikan YAB Dato’ Seri Presiden bahawa UMNO akan terus menuntut keadilan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.”

Jelasnya, ini senada dengan ketetapan yang sudah dibuat oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum ini bagi mendapatkan pembelaan terhadap bekas Presiden UMNO. #NegaraBangsaPAU2023 – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit