UMNO Mesti Efektif Salurkan Pemahaman Jelas, Sangkal Dakyah Pihak Lawan – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap seluruh ahli parti termasuklah pendukung serta penyokong dapat memainkan peranan yang lebih efektif dalam usaha mengukuhkan kembali parti khususnya pasca Pilihan raya Umum (PRU) yang lalu.

Menurut beliau keputusan pada PRU lalu sememangnya perlu diambil kira dan dianalisa secara mendalam selain penerangan yang lebih tuntas terhadap perkembangan terkini khususnya langkah yang diambil parti dalam menubuhkan Kerajaan Perpaduan bersama rakan baharu Pakatan Harapan (PH) serta rakan-rakan parti yang lain.

“Selepas PRU Ke-13 dan ke-14, ikut angka yang ada pada saya jumlah pengundi pada PRU lalu 21 juta pengundi yang mana 10 juta adalah pengundi antara 18-49 tahun dan yang mereka keluar mengundi 15.6 juta. Kalau kita lihat kepada angka ini realiti politik, sokongan berkurangan dan ini kita tidak nafikan.

“Kita tidak boleh biarkan angka ini berterusan. Naratif seperti anak muda menolak UMNO kita kena kaji kenapa berlaku sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ‘Townhall Penerangan UMNO Malaysia’ yang diadakan di sini, semalam. Turut serta menjadi ahli panel dua lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abd Ghani.

Townhall berkenaan dihoskan sendiri oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said. Turut bersama Presiden dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Mohamad Hasan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut berkongsi pentas memberikan penerangan terkini parti khususnya langkah membentuk Kerajaan Perpaduan bersama rakan baharu PH dan parti-parti lain.

Wan Rosdy seterusnya menambah perlu ada sesi penerangan dalam pelbagai bentuk termasuklah dalam kumpulan kecil supaya segala tohmahan termasuklah fitnah-fitnah terkini berkaitan kerjasama di dalam Kerajaan Perpaduan hari ini dapat dijelaskan sebaiknya.

“Kadangkala ada juga orang kita yang percaya… ini masalahnya. Soal kerjasama hari ini di dalam Kerajaan Perpaduan…, kita bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan kerana tidak ada mana-mana parti pun selepas PRU-15 yang boleh membentuk kerajaan.

“Tidak ada sesiapa pun mendapat majoriti ‘simple’. Dan pihak lawan telah memutar-belit soal ini dengan mengatakan UMNO bekerjasama dengan Dap, ada pula seolah-olah mudah percaya. Seperti mana ditekankan tadi, Parlimen tergantung dan kita tidak mahu sepertimana negara Belgium sebagai contoh pada 2018 apabila 589 hari tergantung dan tidak boleh membentuk kerajaan. Apabila tidak dapat bentuk kerajaan yang jadi mangsa adalah rakyat sedangkan kita ada pilihan bentuk kerjasama di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kalau perkara ini diberikan penerangan sejelasnya… buat forum secara kecil-kecilan dan secara bersasar melangkaui ahli parti serta masyarakat luar agar langkah yang diambil parti adalah untuk kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.