Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO Malaysia

UCAPAN DASAR KETUA WANITA UMNO MALAYSIA
DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG WANITA UMNO MALAYSIA 2023

“MELADENI PERUBAHAN POLITIK”

1 BismillahirRahmanirRahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Perjuangan.

SALUTASI

YBHG DATO’ SARIPAH AMINAH SYED MOHAMAD Pengerusi Tetap Wanita UMNO Malaysia
YBHG DATO’ DR. AZIZAH JOHOR Timbalan Pengerusi Tetap Wanita UMNO Malaysia
YBHG DATUK NORLIZA ABD RAHIM Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia
YB DATUK ROSNI SOHAR Setiausaha Wanita UMNO Malaysia
YBHG DATIN MAIZATUL AKMAM ALAWI Bendahari Wanita UMNO Malaysia
YBHG DATO’ ROSNI ZAHARI Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia
WAKIL MAJLIS TERTINGGI UMNO MALAYSIA :-
– YAB DATO’ WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL Naib Presiden UMNO Malaysia
– YB DATUK SERI DR. SHAMSUL ANUAR BIN NASARAH
– YB DATUK SERI HAJI AHMAD HAJI MASLAN
– YB DATUK DR. MOHD PUAD BIN ZARKASHI

BARISAN EXCO WANITA UMNO MALAYSIA BARISAN KETUA WANITA UMNO NEGERI-NEGERI
PARA PERWAKILAN WANITA UMNO MALAYSIA SEKALIAN

Para perwakilan yang saya kasihi sekalian,

1. Alhamdulilah, diizinkan Allah kita dapat bersamasama berkumpul untuk menuaikan tanggungjawab kita selaku Ahli UMNO.

2. Saya ingin mengalu-alukan kehadiran para tetamu kita dari parti komponen Barisan Nasional, Friends Of Barisan Nasional dan juga tetamu kita daripada partiparti komponen kerajaan perpaduan.

3. Saya tidak dapat menyebut semua nama tetamu jemputan dan pemerhati khas yang sudi meluangkan masa menghadiri perhimpunan ini. Namun percayalah, itu tidak mengurangkan sedikitpun rasa hormat saya dan persaudaraan kita bersama, begitu juga dengan wakil-wakil media.

4. Terima kasih semua, atas kesudian meluangkan masa untuk bersama-sama kami pada pagi ini. Kami Wanita UMNO amat menghargainya.

5. Dan tidak lupa, yang teristimewa, bagi pihak kepimpinan Wanita UMNO Malaysia, saya ingin mengalu-alukan kehadiran 1170 perwakilan Wanita 3 dari 189 bahagian, yang mewakili 22,037 cawangan Wanita UMNO di seluruh negara. Sahabat-sahabat yang membawa suara, dari sekecil-kecil jawatan di peringkat akar umbi – bermula dari Cawangan, Bahagian, hingga ke Negeri seterusnya kepimpinan Pusat dari seluruh pelusuk tanah air. MUKADIMAH Sidang perwakilan sekalian.

6. Perhimpunan Agong UMNO pada kali ini adalah perhimpunan yang sangat penting. Kerana perhimpunan ini diadakan di tengah-tengah dua pilihan raya. Kita baharu selesai menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada Disember lalu, dan tidak lama lagi, kita akan berhadapan pula dengan Pilihan Raya Negeri.

7. Perhimpunan kali ini merupakan perhimpunan semak dan imbang prestasi lalu dan sekaligus persediaan untuk kita menghadapi PRN dengan naratif baharu, tawaran-tawaran baharu dan juga gerak kerja yang baharu.

8. Saya ingin mengimbau kembali beberapa bulan yang lalu, kita mengadakan Perhimpunan Agung 2022 dan pemilihan parti dalam situasi kejutan politik yang luar biasa. Kita berhadapan dengan perubahan suhu dan suasana politik parti dan negara yang berbeza.

9. Kita baharu sahaja tewas dalam pilihan raya dan kita, akur kita hanya ada 30 kerusi sahaja. Di dalam keadaan yang sukar itu, Barisan Nasional telah mengambil keputusan untuk bermuafakat dengan pelbagai parti termasuk seteru tradisi kita bagi membentuk gabungan kerajaan perpaduan seperti mana yang dihasratkan oleh Yang DiPertuan Agong.

10. Di awal penubuhan gabungan ini, kita berada di dalam keadaan ketidaktentuan. Kita berdepan dengan pelbagai provokasi, bukan sahaja dari luaran tetapi daripada kalangan kita sendiri.

11. Seolah-olah parti yang kita sayangi ini berada di ambang perpecahan. Kita digambarkan akan bakal hancur. Banyak suara-suara, banyak kritikan dan banyak perpecahan berlaku sepanjang tempoh ini.

12. Belum habis lagi berduka, sebaik tamat perhimpunan, demi memenuhi kehendak perlembagaan, kita terpaksa menghadapi pula pemilihan.

13. Namun, Alhamdulillah, selepas beberapa bulan, pada hari ini, kita berhimpun kembali di sini, dalam keadaan dan suasana yang jauh berbeza. Kita mampu berada dalam pasukan yang sama, demi meneruskan perjuangan parti yang kita sayangi.

14. Kita hanya ada satu pasukan, satu matlamat dan satu perjuangan. Kitalah proksi UMNO, yang telah diberikan amanah untuk menjaga dan memelihara martabat orang Melayu dan Islam.

15. Dikesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua sahabat-sahabat, yang telah dipilih memikul pelbagai tanggungjawab dan amanah dalam Pemilihan UMNO 2023 yang lalu.

16. Kepada 64 muka baharu, Ketua Wanita UMNO Bahagian, dan hampir 50 peratus muka baharu, Ketua Wanita UMNO Cawangan, saya mengucapkan tahniah dan selamat datang ke keluarga besar Wanita UMNO Malaysia!

17. Tidak kira apa jawatan yang telah dimenangi, sama ada jawatan diperingkat Pusat, Bahagian, mahupun cawangan, kita semua hanya ada satu matlamat dan tujuan iaitu memulihkan parti yang mulia ini.

18. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua Wanita yang dilantik dan dipilih. Tahniah kepada Datuk Seri Azalina Othman yang dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Datuk Zahida Zarik Khan dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Norliza Abdul Rahim dan Datuk Siti Aminah Aching yang bersama dalam barisan Ahli Majlis Tertinggi (MKT).

19. Dalam kita meraikan semua ini… kita juga menzahirkan rasa simpati kepada Dato’ Sri Najib Razak dan Keluarga. Semoga Dato’ Sri sekeluarga sentiasa tabah dan cekal…. perjuangan Dato’ Sri sentiasa menjadi inspirasi buat kami semua.

20. Namun apa yang penting, ketika ini kita bersamasama membantu institusi Presiden menguatkan kembali parti ini. Parti ini telah banyak berjasa. Parti ini, telah banyak melakukan kebaikan untuk agama, untuk bangsa dan untuk ibu pertiwi. Jadinya, parti ini mesti diperlakukan dengan adil.

Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,

21. Setelah enam bulan kita bersama di dalam kerajaan perpaduan ini, masih ingat lagi saya bagaimana ianya bermula. Ketika Barisan Nasional membuat keputusan untuk mengadakan kerjasama dengan parti-parti lain bagi membentuk kerajaan perpaduan, ramai pendukung parti yang terpinga-pinga, ada yang terkejut, ada yang kecewa dan ramai juga yang bimbang mengenai masa depan parti ini.

22. Jika kita ketepikan sejenak sentimen peribadi, hakikatnya, penyertaan UMNO sebagai rakan strategik di dalam Kerajaan perpaduan ini ada 4 hikmah politik.

23. Pertamanya, kerjasama ini telah membuktikan bahawa, UMNO dan Barisan Nasional sebagai sebuah parti yang besar, mampu meletakkan kepentingan negara lebih utama dari ego dan maruah. Tidak pernah kita bayangkan, kita akan menjalinkan kerjasama dengan seteru politik kita. Dalam realiti politik pada hari ini, tidak ada lagi kawan mahupun lawan. Yang ada hanya sekutu atau seteru.

24. Kedua, kerjasama ini membuktikan bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang matang, dapat menyesuaikan diri dengan situasi dan keadaan semasa. UMNO bukanlah sebuah parti yang sukar untuk berubah. UMNO juga bukan parti perkauman.

25. Ketiga, setelah enam bulan dalam kerajaan, UMNO juga memainkan peranan sangat significant dalam pembentukan kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri dengan gandingan Timbalan Perdana Menteri hari ini.

26. Pemimpin-pemimpin UMNO yang diberi amanah sebagai anggota kabinet, telah berusaha dengan keras dan ikhlas dalam memperkasakan ekonomi, sosial dan politik rakyat.

27. Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajui oleh YAB Presiden kita sendiri umpamanya, banyak pembaharuan dan projek luar bandar telah dirangka dan dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti masyarakat luar bandar.

28. Tidak lupa juga saya ingin ucapkan terima kasih dan tahniah kepada Menteri Undang-undang kita, YB Datuk Seri Azalina Othman Said yang telah berjaya mengenepikan tuntutan berjumlah USD15 bilion daripada waris Sultan Sulu terhadap Sabah di Mahkamah Rayuan Paris.

29. Kedaulatan negara ini perlu dijaga dan Wanita UMNO mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan sekeras-kerasnya kepada “dalang” di sebalik tuntutan tidak berasas ini. Petualang ini jangan dilepaskan.

30. Keempat, UMNO juga tidak pernah takut untuk berbeza pendapat dalam pentadbiran kerajaan sekarang. UMNO telah menjadi rakan strategik yang baik di dalam Kerajaan dengan memberi teguran dan kritikan yang membina. Berdasarkan pengalaman yang dimiliki, UMNO berjaya memainkan peranan semak dan imbang di dalam kerajaan perpaduan.

31. Ini termasuklah gesaan UMNO kepada Kerajaan dari pelbagai sudut, agar Kerajaan menawarkan solusi konkrit terhadap isu-isu rakyat. Seperti isu harga barangan kerana ia selari dengan agenda kita selama ini dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar.

32. Kita hendak kerjasama ini disulam dengan satu tindakan kerja yang lebih kukuh di peringkat akar umbi, tanpa meminggirkan nilai dan ideologi asas UMNO.

33. Contohnya isu-isu yang melibatkan kesucian agama Islam, UMNO tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang tindakan yang mampu menggugat kesucian agama Islam di negara ini.

34. Kita akan sentiasa menjunjung fikrah dan asas penubuhan UMNO, seperti yang termaktub di dalam Fasal 3.1 perlembagaan parti.

35. UMNO akan kekal konsisten menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai Agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Para perwakilan yang bijaksana sekalian,

36. Setelah kekalahan teruk dalam dua pilihan raya umum yang lalu, kita semua harus menerima hakikat bahawa, parti ini memerlukan masa untuk kembali kuat dan dihormati.

37. Kita harus terima hakikat, walaupun setelah sekian lama bekerja keras memajukan negara ini dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat, majoriti rakyat tidak lagi menyokong kita, seperti yang dinyatakan Timbalan Presiden semalam.

38. Kita juga harus terima hakikat, segala tohmahan, tuduhan dan fitnah bertubi-tubi yang dilemparkan kepada kita selama ini, telah berjaya menghakis kepercayaan rakyat terhadap parti ini.

39. Ia seperti kata pepatah, panas setahun lupus dek hujan sehari. 40. Kita kini sedang melalui fasa pemulihan yang memerlukan masa dan ruang untuk kita kembali membina kekuatan.

41. Dahulu, politik Malaysia tidaklah terlalu sukar untuk dijangka. Namun, senarionya kini amat berbeza. Politik Malaysia sangat dinamik dan sentiasa mempunyai kejutan, sesuatu yang tidak pernah kita lalui.

42. Oleh itu, kita harus menerima gabungan di dalam kerajaan perpaduan ini dengan berlapang dada. Kerana apa? Kerana kita ada peranan dan tanggungjawab. Kita perlu memastikan kestabilan politik, ekonomi dan sosial di negara ini dapat diwujudkan.

43. Ingatlah, kita bukan lagi sebuah parti dominan. Kita tidak akan bertanding semua kerusi. Kita perlu bermuafakat. Kita perlu berkompromi. Demi membawa kemenangan kepada kerajaan perpaduan, yang kita dukung bersama.

44. Seperti mana semua sedia maklum, kita bukan sahaja perlu memastikan kemenangan Barisan Nasional tetapi juga membantu rakan-rakan parti dalam gabungan kerajaan memenangi kerusi masingmasing, seperti mana kita mengharapkan sokongan yang sama daripada mereka.

45. Ya. Saya tau, saya faham, ia memang sukar memandangkan UMNO dengan sebahagian daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan sudah lama berseteru.

46. Namun dalam mendepani kesukaran ini ingatlah pepatah Melayu, tidak ada gunung yang tidak dapat didaki, tidak ada lurah yang tidak dapat dituruni. Kebangkitan dan kejayaan ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita capai.

47. Justeru, perhimpunan pada hari ini sangat penting untuk kita bersama-sama mencari formula terbaik, dalam usaha kita memberikan nafas baharu kepada wanita, demi meletakkan semula UMNO di persada negara.

48. Saya ingin menyeru kepada seluruh jentera dan ahli Wanita UMNO, membulat tekad yang baharu. Kekecewaan yang lalu, kesedihan yang lalu, kita letak ke tepi. Kita ada tanggungjawab besar, dan kita perlu mengorak langkah ke hadapan.

49. Dengan pengalaman luas yang kita ada, ayuhlah, kita sama-sama bangkit berjuang dan sama-sama membuktikan bahawa peranan Wanita UMNO dalam menggerakkan jentera pilihan raya, bakal memberikan impak dan sekaligus memberikan kemenangan dalam PRN yang bakal tiba nanti.

Sahabat Perwakilan Wanita yang saya kasihi sekalian,

50. Sejak daripada dahulu lagi, kita tahu dan kita sedar, wanita merupakan tonggak penting dalam membangunkan negara. Sesiapa pun tidak boleh meremehkan peranan dan tugas wanita ini.

51. Berdasarkan pengorbanan dan perjuangan selama ini, wanita perlu dilihat seiring dengan peredaran politik ketika ini.

52. Kita tidak mahu wanita sering diberikan dengan portfolio-portfolio tradisi.

53. Kita tidak mahu wanita sekadar memanaskan kerusikerusi di agensi dan GLC.

54. Kita tidak mahu wanita sekadar dijanjikan dengan sejumlah bilangan kerusi.

55. Sudah tiba masanya wanita diberikan peranan yang lebih besar.

56. Kita mahu wanita diberikan peluang untuk menerajui kementerian yang lebih kanan.

57. Kita mahu wanita diberikan jawatan-jawatan penting di dalam agensi dan GLC.

58. Kuota 30 peratus ! jangan lupa dan harap bukan lagi sekadar janji-janji. Wanita tidak akan sesekali jemu dalam memperjuangkan kuota 30% ini sehingga tercapai.

59. Namun, tuntutan ini hadir bersama dengan cabaran. Adakah kita bersedia? Adakah kita mempunyai barisan yang cukup dan memenuhi kriteria yang boleh ditonjolkan? Saya percaya kita boleh.

60. Sudah tiba masanya untuk Wanita UMNO mempunyai sebuah institusi yang dapat mencungkil potensi dan melahirkan calon-calon wanita yang boleh kita ketengahkan.

61. Wanita UMNO mesti bergerak ke hadapan. Evolusi politik Wanita perlu diberi lebih banyak perhatian agar lebih dipercayai, lebih moden, lebih berkelangsungan.

Sidang perwakilan yang dihormati sekalian,

62. Semenjak PAU yang lepas, Wanita telah mula menggerakkan beberapa agenda pembaharuan penting dalam gerakerja Wanita terutamanya dalam menghadapi PRN yang akan datang.

63. Pertamanya, iltizam Wanita untuk memodenkan gerakerja JR telah dimulakan dengan perlaksanaan bengkel penambahbaikan gerakerja baru-baru ini.

64. Kedua, pengupayaan Skuad Sayang sebagai gerakan amal bakti yang setara dengan agensi kesukarelawanan lain sedang diusahakan.

65. Ketiga, bagi menyerlahkan potensi golongan wanita profesional dan memberi ruang untuk mereka menyumbang mengikut kebitaraan masing-masing, Sekretariat Wanita Profesional diteruskan dan ditambahbaik pengisiannya.

66. Keempat, bagi menguasai media digital agar menjadi lebih visible, relevant dan prominent, Wanita telah menubuhkan sekretariat Penerangan, Media dan Digital (PMD) agar Wanita UMNO mempunyai pempengaruh media sosial di pelbagai saluran digital.

67. Kelima, data daripada JR merupakan pangkalan data yang sangat besar dan komprehensif. Wanita akan menerapkan penggunaan teknologi Big Data Analytics sesuai dengan peredaran zaman. Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan pusat data, network dan analisis, atau singkatannya “DNA Center”.

68. DNA Center ini akan berfungsi sebagai satu pusat data sehenti milik Wanita yang akan melengkapkan parti dengan analisis dinamik dan multidimensi berkenaan 5 maklumat utama.
a. Pertama, maklumat bilangan ahli dan jentera parti terkini
b. Kedua, maklumat kesiapsiagaan jentera berdasarkan portfolio
c. Ketiga, data pengundi terkini berdasarkan profail dan lokaliti
d. Keempat, kecenderungan pengundi yang diukur melalui kajiselidik dengan pensampelan yang saintifik dan empirikal
e. Kelima, tren dan wacana politik berdasarkan isu dan polisi, diraih melalui data lapangan diintegrasikan dengan data points dari media sosial

69. Hasil analisis data ini sifatnya dinamik, bermakna ia boleh digunakan bukan sekadar untuk mengukur tahap sokongan, tetapi juga untuk merencana strategi, menyusun mesej dan melaksanakan program yang benar-benar memberi impak yang semaksima mungkin.

70. Sementara itu, Laporan Global Gender Gap daripada World Economic Forum menyatakan bahawa sekiranya potensi wanita diupayakan sepenuhnya, maka Negara kita akan dapat meningkatkan kadar KDNK sehingga 10% menjelang 2030.

71. Jadi, dalam usaha memajukan keupayaan wanita, melalui RISDA akan membangunkan Pusat Latihan TVET Wanita yang pertama di Malaysia.

72. Pusat Latihan TVET Wanita ini, adalah satu komitmen untuk meningkatkan kapasiti wanita melalui programprogram upskilling, reskilling, multiskilling dan future skilling, di seluruh negara termasuk kawasan pinggir desa.

73. Program ini telah pun dibincangkan bersama YAB Menteri sendiri dan akan dilaksanakan dengan sasaran 15 ribu wanita di seluruh Negara.

PENUTUP Sidang perwakilan yang saya kasihi,

74. Kalau kita hendak imbas kembali, sejarah kemerdekaan negara, kita bermula dengan perpaduan. Seluruh negara membawa hasrat yang sama. Kita pernah makmur dan damai. Inilah konsensus nasional yang kita sepakati bersama ketika mencapai kemerdekaan.

75. Namun politik kepartian, politik perkauman telah menjauhkan kita daripada semangat Malaysia yang asal.

76. Dan sesungguhnya, mengisi erti kemerdekaan itu lebih sukar daripada perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.

77. Tanpa kita sedari, pergolakan politik yang berlaku pada hari ini, memaksa kita untuk sekali lagi mengulangi konsensus nasional, untuk kita mengisi erti kemerdekaan itu, agar negara ini kembali stabil dan makmur.

78. Inilah yang perlu kita usaha dan kembalikan. Inilah acuan kita dalam usaha untuk mengembalikan semangat Malaysia yang asal, Malaysia yang majmuk, Malaysia yang makmur, Malaysia yang muhibbah dan Malaysia yang stabil.

79. Saya sedar, ia bukan sesuatu yang mudah untuk kita laksanakan. Tetapi, sejarah telah membuktikan negara ini bangkit atas kesepakatan ini.

80. Kita perlu menyuburkan semangat ini, bukan sahaja setakat kepada ahli parti tetapi semangat perpaduan ini perlu disuburkan dikalangan masyarakat dan rakyat.

81. Sahabat sekalian, kita sudah tidak punya banyak masa. Di hadapan kita, ada cabaran yang besar, ada tanggungjawab yang perlu digalas, ada amanah yang perlu kita pikul.

82. Walaupun kita tewas, Alhamdulilllah, parti kita masih diberi peranan dalam pembentukan Kerajaan. Kita masih diberi ruang dan peluang untuk berbakti.

83. Walaupun kini, kita berada pada sokongan paling rendah, Yakinlah, percayalah selagi kita masih ada kesetiaan, selagi masih ada rasa cinta pada parti ini, UMNO pasti akan bangkit dan kembali gagah.

84. Detik ini, jadikanlah ia sebagai detik terakhir. tidak akan ada sokongan yang lebih rendah daripada ini. Jadikan ini sebagai turning point kita

85. Pernah dulu ada satu parti yang cuma tinggal satu kerusi sahaja di Parlimen, tetapi sekarang dah mengetuai Kerajaan! Tidak ada yang mustahil

86.Akhir kalam, bangkitlah sahabat-sahabatku!
Jadikanlah perhimpunan ini sebagai suatu medan untuk kita kembali duduk semeja,
memikirkan apa yang terbaik boleh dilaksanakan.
Kita memperkemaskan jentera, melakar jalur politik yang baharu.
Kita tawarkan tawaran yang baharu.
Demi UMNO terus bangkit dan terus maju.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakuh. Sekian, Terima Kasih dan selamat bersidang!

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.