Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA

PEMUDA CARA KITA

Ini rumah kita,
Rumah yang kita bangga dengan megah dan indah suatu ketika dahulu,
Ini rumah kita,
rumah tanggungjawab kita,
Rumah yang banyak berjasa pada semua,
rumah yang banyak beri perlindungan pada kita.
Ini rumah kita,
Ramai yang mahu melihat rumah kita hancur dan lebur,
Ramai yang mahu melihat kita bercakar dan berbirat Ramai yang mahu melihat kita berkelahi dan bertengkar.
Iyaa ! Benar ! Rumah ini telah usang,
Iyaa ! Benar ! Rumah ini ada yang kurang,
Tetapi, itu bukan alasan untuk kita pancung dan pancang
Ini rumah kita, amanah kita, masa kita untuk memperbaiki rumah ini.
Rumah yang perlukan darah sang setia, hati yang berani dan jiwa yang teguh.
Buruk ke, Rosak ke, macam mana sekali pun, Ini tetap rumah kita.
Jika rosak sama-sama kita perbaiki, jika buruk sama-sama kita hiasi.
Ini rumah kita, belum daya kita untuk kehilangan rumah ini,
Kerana, jika kita hilang rumah ini
Esok lusa belum tentu ada rumah untuk kita lagi.
Ini rumah kita, rumah yang perlu kita lindungi,
Susah senang inilah rumah kita.
Ini rumah kita, rumah yang kita dilahirkan, dan sampai hujung hayat sekalipun disini kita mahu disemadikan
Maka, ini rumah kita, ini tanggungjawab kita, kita perbetulkan dengan cara kita.

SALUTASI
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh
1. Yang dihormati Sahabat saya, Wan Agyl Wan Hassan, Pengerusi Tetap Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,

2. Yang dihormati sahabat saya, Zairul Azmir Ramli, Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,

3. Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Naib Presiden UMNO Malaysia,

4. Yang dihormati sahabat saya, YB Hairi Md Shah, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,

5. Yang Berhormat wakil-wakil Majlis Kerja Tertinggi, YBhg Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, YB Dato’ Sri Bung Moktar Bin Hj Radin, YB Datuk Seri Hj. Md. Alwi Bin Che Ahmad,

6. Barisan Pegawai-Pegawai, Ketua-Ketua Bahagian, Sahabat-sahabat EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,

7. Para perwakilan yang saya kasihi sekalian,

8. Dif-dif jemputan, tetamu-tetamu khas, para pemerhati yang berada di dalam dan di luar dewan,

9. Tuan-tuan dan puan-puan, serta wakil-wakil media yang saya hormati sekalian.

BERANI, TAAT, SETIA
Sidang Perwakilan Sekalian,

1. Saya bagi pihak barisan kepimpinan tertinggi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kehadiran 1160 perwakilan Pemuda dari 190 (seratus sembilan puluh) bahagian seluruh Negara, yang mewakili 13,478 cawangan Pemuda UMNO ke perhimpunan ini dengan membawa suara dari peringkat akar umbi.

2. Saya mulakan ucapan saya dengan puisi Ini Rumah Kita. Teguhnya rumah bukan soal berapa besar atau berapa gah, teguhnya rumah adalah apabila kita isi dengan rasa berani, taat dan setia.

3. Berani, taat dan setia – inilah nilai yang membuatkan kita terus kekal menyarung sepersalinan baju melayu putih lengkap songkok dan bersamping pada hari ini. Persalinan inilah yang terus menyarung tubuh kita, sebagai sebuah lambang kesucian dan keikhlasan dalam perjuangan yang kita pilih.

4. Dewan yang gemilang ini sedang menjadi saksi, tatkala pengaruh dan sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional semakin merosot, tatkala ada sahabat-sahabat seperjuangan kita selama ini yang sudah mula angkat kaki meninggalkan kita, tatkala mungkin ada yang sudah malu untuk dikaitkan dengan nama Pemuda UMNO, terdapat sebuah ketumbukan Pemuda yang masih ‘degil’, ‘keras kepala’ dan ‘gila’ untuk terus berada di sini.

5. Namun di sebalik rasa ‘degil’, ‘keras kepala’ dan ‘gila’ kita untuk terus bersama parti keramat ini, kita juga wajib menerima hakikat, walau sepahit mana, bahawa sokongan terhadap UMNO hari ini, tidak sama dengan sokongan terhadap UMNO sewaktu hari pertama kita mendaftarkan diri sebagai ahlinya.

6. Jangan terus dibuai dengan memori sejarah. Sejarah sepatutnya menjadi guru yang membangkitkan, bukan dodoian yang melenakan. Kuatnya UMNO dahulu, adalah jasa mereka yang terdahulu. Realiti UMNO hari ini, amanah untuk kita tangani.

7. Saya sedar, ketika ini, Pemuda menjadi perhatian ramai. Baik dari dalam mahupun dari luar parti. Ramai pihak yang boleh beri pandangan, tentang cara, kaedah dan bagaimana rumah Pemuda ini perlu diuruskan. Malah mungkin ada juga yang sedang membandingkan saya dengan barisan Ketua Pemuda yang terdahulu. Semuanya saya hargai dan raikan.

8. Tetapi seperkara yang perlu saya ingatkan, di sebalik pandangan, kritikan, tohmahan, penilaian dan apa sahaja ungkapan, hakikatnya, hanya kita sahaja, barisan Pemuda yang sedang menghuni rumah ini, yang hadap, depani, dan ketahui hujan panas, ribut taufan, yang tidak pernah dirasai oleh sesiapapun.

9. Hanya kita juga yang tahu, rumah yang kita warisi ini, rosaknya di mana, bocornya di mana, tiang serinya sekuat mana, kelengkapannya tinggal berapa.

10. Sekarang, kita berada dalam situasi yang tidak pernah dilalui oleh mana-mana kepimpinan Pemuda sebelum ini. Parti yang selama ini kita lahir dan dewasa di dalamnya, menuntut kita menterjemahkan nilai kematangan, hasil dari proses pendewasaan yang kita lalui selama ini.

11. Di sebalik gahnya UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu dan Malaysia, yang memiliki 191 Bahagian di seluruh negara, hakikatnya UMNO merupakan antara parti terkecil dalam konfigurasi politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini. Ada apa pada nama jika angka tidak segah namanya.

12. Atas dasar itulah, tanpa mahu menafikan kelebihan dan pengalaman mereka yang terdahulu daripada kita, di rumah yang sedang kita huni ini, kitalah abang, kitalah adik, kitalah adik beradik yang memaknakan isi rumah ini. Teguhnya rumah ini kerana kita, kalau runtuhya rumah ini juga atas kita.

13. Pun begitu, Pemuda UMNO Malaysia tidak akan sesekali menggadaikan prinsip yang menjadi asas penubuhan UMNO. Cara kita mungkin berbeza, tetapi nilai kita masih sama. Cara kita mungkin berbeza, tetapi akidah kita masih sama. Pemuda akan terus kukuh dan utuh, untuk BERANI, TAAT, DAN SETIA. Tetapi di bawah kepimpinan saya, AKMAL SALLEH, KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA, mesej saya jelas – Berani, Taat, dan Setia para PEMUDA adalah dengan CARA KITA!

PERMINTAAN DAN PENAWARAN

14. Secara peribadi, saya terkenang asbab saya memilih UMNO sebagai parti politik yang saya ingin sertai. Ada satu peristiwa yang membuatkan hati saya bertaut pada UMNO.

15. Saya percaya setiap rakan-rakan Pemuda pasti mempunyai peristiwa yang menjadi asbab untuk memilih parti keramat ini. Dari sinilah lahirnya sebuah rasa minat, yang secara beransur-ansur berubah menjadi sayang.

16. Minat inilah, yang semakin hari semakin pudar untuk anak-anak muda memilih parti UMNO. Mereka mungkin tiada ‘personal experience’ untuk membuatkan mereka berminat dengan UMNO, lantas membuatkan tiada keperluan untuk mereka memilih apatah lagi menyertai UMNO.

17. Dalam teori ekonomi, keperluan inilah yang membentuk sebuah PERMINTAAN (Demand), lantas mewujudkan ruang untuk PENAWARAN (Supply). Di sini, UMNO perlu beradaptasi. Supply perlu mengikut Demand. Jangan Supply syok sendiri.

18. Untuk UMNO kekal relevan, UMNO perlu berubah mengikut kehendak rakyat. Sekarang zaman parti politik perlukan pengundi, rakyat boleh hidup tanpa parti politik. Parti politik dengan rakyat, umpama badan dan jantung. Kalau badan berhenti, jantung masih berjalan, tapi kalau jantung berhenti, kita ni orang-orang politik yang ‘jalan’.

19. Fakta – Nisbah ahli UMNO berbanding jumlah pengundi semakin mengecil. Pada PRU12 semasa melandanya Tsunami politik, peratusan ahli UMNO hanya tinggal 38.5%. Kesannya, beberapa negeri ketika itu telah dirampas oleh Pakatan Rakyat. Tetapi kita diselamatkan dengan undi surplus rakyat biasa yang bukan ahli tetapi masih mengundi UMNO.

20. Dalam PRU15, nisbah ahli UMNO berbanding rakyat yang turun mengundi hanya 21.4% sahaja. Kesan – UMNO kena ‘lipat teruk’ dalam lipatan sejarah terburuk UMNO ketika PRU. Ini hakikat, bukan fakta yang dibuat-buat.

21. Pun begitu, ia bukan bererti kita mandul dalam memberikan Supply. UMNO sebenarnya masih mempunyai kualiti untuk menyediakan Penawaran kepada rakyat. Di hadapan saya inilah, “Supply” yang UMNO ada kepada rakyat. Rumah Pemuda UMNO sentiasa melahirkan pemimpin-pemimpin yang berwibawa. Tetapi walau sebagus manapun kualiti “Supply” yang kita ada, ia hanya sia-sia jika tiada Demand dari rakyat jelata.

22. Hakikatnya, ketika era pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan, jenama UMNO kembali ‘hangat di pasaran’. “Demand” kepada kita naik mendadak. Rentetan siri-siri PRK, serta kejayaan besar dalam PRN Melaka dan PRN Johor, membuktikan yang UMNO tidak pernah ketandusan dalam menyediakan Supply, malah telah berjaya mewujudkan Demand yang sangat besar.

23. Tetapi, Demand ini merudum secara tiba-tiba, hingga menyebabkan UMNO rugi teruk ketika PRU 15. Sedangkan, jika hendak dibandingkan dengan semua parti, PENAWARAN kita adalah lebih baik. Track Record wakil-wakil rakyat UMNO juga adalah lebih baik. Malah, gerak kerja UMNO juga adalah lebih baik. Soalan – di mana silapnya?

24. Jika kita berbalik semula kepada teori ekonomi atau perniagaan, di sebalik kefahaman kita tentang konsep penawaran dan permintaan, kita akhirnya tewas kepada permainan PENJENAMAAN (Branding).

25. Kita perlu jujur, kita perlu akur, pada PRU15, JENAMA UMNO telah terjejas teruk. Saya sendiri menerima face to face feedback berkenaan branding parti kita ketika turun berkempen pada PRU15. Malah, ada tempat yang langsung tidak bercakap tentang calon Parlimen tersebut pun, sebab para pengundi terlalu banyak menekan kita berkenaan isu-isu nasional dan isu dalaman Parti yang berlaku sebelum PRU15.

26. Saya menyeru, sahabat-sahabat Pemuda untuk kembali memulihkan Branding UMNO ini. Branding yang membuatkan UMNO diminati, disayangi dan diingini.

27. Saya pasti sahabat sahabat perwakilan mahu kita kembali kepada UMNO yang dahulu. Bagaimana kita nak pulihkan branding UMNO? UMNO yang dekat dengan rakyat, bercakap dengan rakyat, UMNO yang sakit sama mengaduh, luka sama mengiuk, UMNO yang sederap, selangkah, seiring berpimpin tangan, UMNO yang dihormati dan dipandang tinggi.

28. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan saudara-saudara, kain mana yang tidak terkoyak, tetapi saya percaya semua orang sayangkan UMNO, yang jauh kita rapatkan, yang terguris kita tautkan, yang merajuk kita pujuk, yang di luar marilah masuk.

29. Selaku barisan benteng paling hadapan Parti, kita mesti kembalikan keberanian pada warna merahnya, kesucian pada putihnya, kedaulatan raja pada bulat kuning, ketinggian Islam dan Melayu pada hijau keris. Ini asal usul kita, ini BERANI, TAAT dan SETIA kita. Inilah yang akan mengembalikan Supply dan Demand kita. Para perwakilan sekalian, UMNO PASCA PRU15 & PEMILIHAN PARTI

30. UMNO sudah melepasi dua fasa penting. PRU15 dan Pemilihan Parti. Saya percaya para perwakilan di dalam ini dan akar umbi di luar sana masih cuba menghadamkan realiti yang sedang berlaku kepada UMNO hari ini.

31. Saya ambil tanggungjawab untuk sekali lagi menjelaskan asbab pilihan yang dibuat oleh UMNO. Perlu diingatkan, selepas keputusan PRU15 diumumkan, tiada satupun parti memperoleh majoriti mudah menubuhkan kerajaan, lantas mengundang pengulangan drama ketidakstabilan politik negara.

32. Atas titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebuah kerajaan perpaduan perlu ditubuhkan antara Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional demi kestabilan dan kemakmuran rakyat dan negara.

33. Namun begitu, keangkuhan Perikatan Nasional telah menolak titah ini, lantas membuatkan UMNO perlu hadir bagi menokhtahkan polemik politik negara. UMNO sedar, negara perlu segera dipulihkan. Politik perlu segera distabilkan.

34. Saya ingin mengajak para perwakilan untuk melihat semula Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Fasal ini menjelaskan UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Agama Islam, Kebangsaan Melayu, Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Malaysia demi kemakmuran dan kestabilan negara.

35. Fasal inilah yang mengingatkan UMNO kepada fitrahnya. Asas perjuangan, prinsip dan tujuan, menjadikan pilihan yang dibuat adalah demi kepentingan rakyat, negara, dan mencerminkan Malaysia sebagai negara majmuk.

36. Kita mahu UMNO dalam kerajaan perpaduan, menjadi parti yang membela nasib Melayu, pertahankan Islam dan menjunjung kedaulatan raja. Kita mahu UMNO dalam kerajaan perpaduan ini berfungsi sebagai PENJAGA, PELINDUNG dan PEMELIHARA Melayu, Islam dan Bumiputera, tanpa meminggirkan kepentingan kaum lain.

37. Kalau ada ada mana mana pihak yang cuba, waima terlintas walau sedikit pun untuk mengganggu gugat agama, bangsa dan institusi raja, tengok muka ini, tengok muka Pemuda-pemuda ini, langkah mayat kami dulu.

ISU DAN CABARAN ORANG MUDA
Sidang Perwakilan Sekalian,

38. UMNO lahir dari benih rakyat. Dari rakyat kita datang, kepada rakyat jua kita kembali. Atas dasar itulah, amat penting untuk UMNO terus menyantuni denyut nadi rakyat.

39. Pemuda UMNO wajib bangun dan bersuara. Jangan lesu membisu dalam isu orang muda. Tekanan yang dihadapi oleh golongan belia hari ini adalah sangat sukar.

40. Pemilikan Rumah dan Pendidikan. Ini 2 isu besar yang akan menjadi tumpuan Pemuda UMNO. Saban tahu kita bercakap, berbahas dan berdialog tentang 2 isu besar ini. Saban tahun jugalah, kita masih mencari pendekatan dan solusi.

41. Bagi isu perumahan, Statistik Bancian 2020 menunjukkan pemilikan rumah bagi kalangan belia bawah 40 tahun hanya mencecah 44%. Dalam erti kata lain, 56% masih lagi tidak mampu memiliki rumah.

42. Dahulu, di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak, beliau telah memperkenalkan polisi dan dasar perumahan kerajaan di bawah nama Skim Rumah Pertamaku (SRP). Skim Rumah Pertamaku ini menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus dan menjadi satu-satunya skim yang membantu rakyat Malaysia untuk mendapatkan pinjaman sehingga 110%.

43. Idea dan jasa Dato’ Seri Najib Razak ini telah membantu ramai rakyat terutamanya golongan belia. Dari 90 ribu permohonan yang diluluskan, 90% telah diberikan kepada golongan B40 dan belia.

44. Ini untuk golongan B40 dan belia, isu perumahan turut dirasai oleh adik-adik kita yang sedang menuntut di menara gading. Konteks mereka bukan isu pemilikan, tetapi isu penyewaan. Kos sewaan rumah yang semakin meninggi, menyebabkan adik-adik kita terpaksa ikat perut, berhimpit bersesak di rumah yang kecil, yang akhirnya mengundang ketidakselesaan.

45. Secara amnya, Pemuda ingin mencadangkan agar diwujudkan elaun sewaan rumah atau mengkaji pelaksanaan penetapan harga siling sewa rumah bagi menampung kadar sewaan rumah mengikut lokaliti kampus masing-masing. Bagi menjayakan cadangan ini, Pemuda mengajak libat urus bersama-sama pemegang taruh seperti wakil belia, pemaju, institusi perbankan dan agensi-agensi kerajaan dan swasta.

46. Saya percaya perkara ini boleh dilaksanakan dengan kajian yang mendalam. Hal ini telah dilaksanakan di Australia, Jerman, New Zealand, dan Perancis. Pemuda UMNO Malaysia akan meneliti isu pemilikan rumah belia secara serius. Sebuah Jawatankuasa Khas Perumahan Orang Muda, di bawah sayap Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, akan ditubuhkan bagi menuntut inisiatif yang segar dan lebih baik. Sahabat Pemuda Sekalian,

47. Kedua, isu Pendidikan. Pemuda percaya, pendidikan adalah asas yang utama. Hari ini rakyat menilai seseorang pemimpin itu bukan sahaja melalui daya kepimpinannya, tetapi juga melalui latar belakang pendidikannya.

48. Saya seru para Pemuda UMNO, untuk mendapatkan sekurang-kurangnya segulung diploma dalam tempoh anda semua sebagai Pemuda. Kita mahu Pemuda UMNO, berani dan bijak berdiri di pentas masyarakat bagi berbicara soal polisi dan dasar kerajaan.

49. Sehubungan itu, melalui inisiatif PEMUDA BERILMU, kita akan wajibkan setiap Ketua Pemuda UMNO Bahagian untuk mendapatkan sekurang-kurangnya pendidikan bertaraf diploma. Pemuda UMNO Malaysia akan menjadi pemudahcara kepada manamana ahli Pemuda yang berminat untuk menyambung pelajaran mereka.

50. Pemuda UMNO Malaysia akan menjalinkan kerjasama dengan IPT di Malaysia, baik swasta mahupun kerajaan, dan akan berhubung dengan agensi-agensi yang berkaitan, bagi urusan pinjaman atau biasiswa.

51. Kita tak mahu orang melihat Pemuda hanya sebagai pemasang bendera semata-mata. Kita komited untuk menghasilkan kepimpinan Pemuda UMNO yang BERANI dan juga BERILMU. Ini CARA KITA! KONGRES MELAYU MAJU

52. Dari kita asyik dok bergaduh siapa lebih Melayu, siapa lebih Islam, Pemuda lebih berminat untuk berbicara soal survivaliti bangsa Melayu secara holistik.

53. Pemuda UMNO tidak akan sesekali dan tak mahu terperangkap dalam relung politik yang hanya bermain dengan kalam-kalam retorik tanpa hasil yang konkrit.

54. Atas dasar inilah, Pemuda menyambut baik seruan YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan, Timbalan Presiden UMNO, dalam ucapan beliau malam tadi yang mahukan Pemuda menggerakkan KONGRES MELAYU bagi menghasilkan Blueprint Melayu Maju.
55. Pemuda sedar, ekonomi Melayu semakin terhimpit. Berdasarkan perangkaan Rancangan Malaysia ke 12, sehingga tahun 2019, ekuiti orang Melayu bumiputera hanyalah sekitar 17.2%, jauh dari target Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu pegangan ekuiti sebanyak 30%.

56. Maka, sudah tiba masanya, Pemuda mendesak Kerajaan untuk mengambil serius tentang pemerkasaan ekonomi orang Melayu. Pemuda akan memulakan semula Blueprint pembangunan orang Melayu, yang akan kita lahirkan dari rahim Kongres Melaju Maju ini. Kongres ini akan benar-benar bertujuan untuk memajukan Melayu. Kita menggali akar permasalahan untuk merencana pucuk solusi.

57. Ini Kongres yang benar-benar untuk orang Melayu. Bukannya seperti Kongres AcahAcah sebelah sana, yang hanya bercakap soal kuasa demi survival politik mereka.

58. Menerusi Kongres ini, kita akan menghimpunkan segenap lapisan pemikir-pemikir terbaik bangsa, dari para cendekiawan, teknokrat, tokoh korporat, professional, wakilwakil rakyat, penggerak komuniti dan pertubuhan-pertubuhan belia.

59. Segala isu yang melingkari hal ehwal orang Melayu, dari sudut ekonomi, pendidikan, perumahan, pekerjaan, polisi dan dasar, akan kita rangkumkan di dalam Blueprint Melayu Maju ini. Inilah sebuah Blueprint selepas era DEB yang akan menjadi kiblat kita untuk tempoh mendatang. In Shaa Allah, ini ikhtiar kita, ini CARA KITA!

MENERJAH ZAMAN POLITIK BAHARU DENGAN CARA KITA
Sidang Perwakilan sekalian,

60. Hari ini, kita sudah menerjah zaman politik baharu. Zaman yang menuntut kita untuk beradaptasi dengan peredaran zaman. Zaman yang perlu cepat, tangkas dan tepat.

61. Kalau dahulu, budak-budak bersunat guna pisau Tok Mudim dan duduk atas batang pokong pisang, ambil masa sampai berminggu untuk pulih. Kini, dengan teknologi laser, sunat pagi, petang dah boleh berlari.

62. Dalam politik, perkara ini yang kita mahukan. Sentiasa peka dan cakna dengan keperluan dan kehendak semasa. Pemuda UMNO perlu cepat mendahului permasalahan, supaya Demand kembali meningkat.

63. Pemuda perlu faham, rakyat sudah menolak politik kebencian, politik fitnah dan politik menakut-nakutkan. Rakyat inginkan sebuah politik yang didasari dengan rasa tanggungjawab, minda terbuka dan matang. Yang mengakui kelemahan diri, bersedia untuk memperbaiki dan tidak bertubi-tubi menangguk kelemahan orang lain. Pendek kata, politik yang gentlemen.

64. Untuk menjayakan perkara ini, perlunya sebuah perubahan. Berani untuk berubah. Jangan takut, jangan gentar. Kita sudah membuktikan, apabila kita BERANI membuat perubahan, rakyat kembali percaya kepada kita.

65. Contohnya jelas, ketika PRN Melaka, kita mengambil langkah berani dengan membariskan sebanyak 86% wajah baharu, yang kebanyakannya terdiri daripada orang muda. Perubahan yang dilakukan ini membawa kepada kemenangan besar UMNO dan Barisan Nasional di bumi Melaka.

66. Malah, jika tiadanya keterbukaan dan kesediaan untuk berubah, mana mungkin yang berdiri berucap di hadapan anda semua, menjadi Ketua Bahagian Termuda bagi penggal ini.

67. Sebab itu sahabat-sahabat sekalian, yakinlah parti kesayangan kita ini mampu kembali ke tempat yang pernah kita duduki. Tapi keyakinan ini hadir bersyarat, berani buat perubahan.

68. Kita sendiri lihat, kalau berdasarkan prestasi PRU14, siapa sangka PAS dan BERSATU boleh capai 74 kerusi dalam PRU15. Tapi kita kena ingat, menjelang PRU16, jumlah 74 ini belum tentu kekal. Selagi mana kita berubah, dan buktikan kepada rakyat yang UMNO sudah pun berubah, In Shaa Allah, hasil kerja yang didasari dengan BERANI, TAAT dan SETIA, walau sedikit mana pun sisa kekuatan yang kita ada, selagi kita istiqamah, kita pasti menang!

69. Kita lihat Parti LDP di Jepun, CDU di Jerman, INC di India – antara parti yang cukup dominan dalam tempoh yang lama, semuanya kembali bangkit selepas mengalami kejatuhan. Kuncinya, BERANI UNTUK BUAT PERUBAHAN! Dan keberanian itu harus dimulakan oleh Pemuda UMNO Malaysia.
Sahabat-sahabat Pemuda sekalian,

70. Untuk BERANI BERUBAH, we must address the real issues. Ini baru CARA KITA. Atas sebab itulah, Sayap Pemuda mengambil pendirian tidak menjemput parti selain kita. Kita tidak jemput bukan kita tidak mahu bersama, tetapi saya percaya ada perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu di peringkat adik-beradik.

71. Saya sedar, perkembangan politik mutakhir ini, ada adik-beradik kita yang masih keliru. Ada adik-beradik yang mungkin tidak berpuas hati. Jadi, ini lah ruangnya untuk kita semua meluahkan seluas-luasnya, kita ambil maklum dan kita selesaikan.

72. Jangan tipu diri sendiri, jangan berselindung di sebalik tabir, jangan bertapis, jangan berlapik. Kita orang muda, mental kena kuat, jiwa kena kental, jangan cepat koyak!

73. Saya faham, dalam rumah kita ini, ada yang resah, ada yang gelisah. Meski telah memiliki telaga, tangan masih memegang tali, sedang orang mencapai timba.

74. Ada yang datang berjumpa, mengadu dan meluahkan perasaan, risau sawah sejalur tinggal sejengkal, tanah sebidang mudah terjual. Risau bila bersama DAP, keris UMNO terperosok ke bumi. Risau bila bersama DAP, UMNO diam terbisu, kampung tergadai.

75. Bahasa mudahnya, akar umbi risau, bila bersama DAP, UMNO sudah tidak boleh bercakap pasal hak istimewa orang Melayu, UMNO tak boleh bercakap soal kedaulatan raja-raja, UMNO tak boleh tuntut isu agama, bahasa dan pendidikan orang Melayu dan Bumiputera. UMNO kena patuh dan ikut telunjuk DAP. Ini yang orang UMNO risau.

76. Hari ini, Pemuda UMNO ingin tegaskan kita bersama Kerajaan Perpaduan adalah atas faktor titah YDPA untuk kestabilan negara. Kita bersama untuk membentuk kerajaan. Kita berkongsi ruang pentadbiran, tetapi bukan ruang fahaman. Kita rentas politik kepartian, tapi kita sempadankan prinsip perjuangan. Kalau ada yang berani melintas, Pemuda UMNO yang pertama akan datang mencantas.

77. UMNO tidak akan sesekali menjadi DAP, dan kita tidak pernah minta DAP menjadi UMNO dan kita nak tegaskan, Pemuda UMNO akan pastikan yang UMNO tidak akan sesekali menjadi DAP.

78. Ini SUMPAH dan IKRAR Pemuda, kita takkan sesekali berkompromi. Dan hari ini, Pemuda UMNO menuntut, DAP perlu membuktikan segala tohmahan, pemikiran, cakap-cakap tentang DAP yang anti Melayu, anti Islam, racists, communist centric tidak akan berlaku dalam Kerajaan Perpaduan, jika mahu orang UMNO berlembut hati. Inilah CARA KITA, tiada selindung, jujur yang kita junjung.

79. Saya kira semalam semuanya dah tengok satu video, seorang rakyat Singapura Bernama Jocelyn Chia yang menghina dan memperlekehkan bangsa Malaysia. Dengan nada meremehkan, Jocelyn ini menistakan kita dengan ayat, saya petik : “fuck you Malaysia”. Ini satu penghinaan yang tidak boleh diterima oleh Pemuda UMNO dan seluruh rakyat Malaysia.

80. Oleh itu, hari ini juga, saya akan mengarahkan Exco Pemuda saya, untuk membuat satu laporan polis terhadap petualang ini. Kita desak Kerajaan Malaysia untuk mengharamkan petualang ini menjejakkan kaki ke bumi Malaysia.

81. Dan, besok juga, saya menyeru kepada semua pimpinan Pemuda, untuk kita sama-sama turun ke jalanan, berhimpun di hadapan Kedutaan US pada jam 2.30 petang, untuk kita serahkan Surat Bantahan ini. Sidang Perwakilan sekalian,

82. Orang Melayu mesti melihat UMNO benar-benar mampu menjadi pelengkap kepada politik Melayu dalam kerajaan perpaduan ini. Pemuda harus menjadi taring yang memberi rasa gerun kepada lawan, hormat kepada kawan.

83. Pemuda mesti pastikan, suara Pemuda diangkat menjadi polisi kerajaan. Kalau kita soroti sedikit sejarah Pemuda, semenjak penubuhan UMNO, suara-suara Pemuda lah yang bergema lantas dijadikan dasar dan polisi kerajaan.

84. Inilah yang dilegasikan kepada kita, dari Kapten Hussein, Razak, Sardon, Senu, Harun Idris dan seterusnya. Ini cara mereka yang terdahulu, kita akan menulis semula sejarah dengan cara kita.

85. Pemuda tidak boleh ada rasa takut bilamana dikecam atau dipertikai oleh pihak tertentu. Pemuda mesti berani menyatakan perkara yang benar walaupun pahit, dan menegur perkara yang salah dengan cara yang berhemah. Lawan kita bukan bermakna derhaka, tegur kita bukan bermakna biadab, lantang kita lantang berisi, bising kita bising bererti, taat kita pada parti, setia kita pada pertiwi.

86. Sekiranya kita benar-benar mahu memulihkan parti ini, Pemuda mesti merdeka dan mengikut cara kita sendiri. Corak dan acuan Pemuda mesti terpancar mengikut tuntutan dan perubahan zaman.

TEKAD PEMUDA CARA KITA – S.H.I.E.L.D
Sidang Perwakilan Sekalian,

87. Menuju penggal baharu Pemuda UMNO 2023 – 2026, Pemuda UMNO harus membulatkan tekad, setia di rumah kita dan bergerak dengan cara kita. Kita wajib ada SHIELD. Benteng pertama yang mempertahan, melindung dan memulihara adalah Pemuda UMNO.

88. Pertamanya Pemuda UMNO wajib SANTUNI soal polisi dan kebajikan rakyat. Retorik politik dan pendekatan populis kita buang jauh-jauh.

89. Kedua, Pemuda UMNO wajib HADAM isu dan aspirasi rakyat tanpa meninggalkan prinsip perjuangan. Suara rakyat kita angkat dan martabat.

90. Ketiga, Pemuda UMNO wajib kayakan ILMU bagi memulihkan parti. Dengan ilmu, kota-kota besar juga boleh kita tawan.

91. Keempat, Pemuda UMNO wajib jadi jambatan yang ERAT. Parti dan rakyat mesti disaling hubungkan.

92. Kelima, Pemuda UMNO wajib menjadi barisan terawal kepada orang Melayu untuk LAWAN soal kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan institusi raja-raja. Kita cantas yang gugat keharmonian dan keamanan.

93. Keenam, Pemuda UMNO wajib DUKUNG prinsip parti yang asal tanpa diskriminasi. Ini soal maruah dan amanah.

94. Inilah tekad pemuda, cara kita. Selain Pemuda UMNO akan menubuhkan Jawatankuasa Perumahan Orang Muda, saya juga mengumumkan untuk menginstitusikan think tank Pemuda UMNO agar segala tindakan kita berpandukan fakta dan data.

PENUTUP

Keris disanding bersama tombak,
Diasap setanggi bunga teratai,
Kalau takut dilambung ombak,
Jangan berumah di tepi pantai

Angkut-Angkut terbang ke langit,
Mati disambar anak merbah,
Tertangkup bumi dengan langit,
Setia kita tak kan berubah.

Ketahuilah semua saudara-saudaraku,
Bangun dan berdirilah bersamaku.
Kembalilah kepada perjuangan yang asal,
Persiapkan diri dan tenagamu.
Kita pasak tegakkan tiang seri rumah ini,
Kita atur rapikan kembali atap rumah ini,
Kita rapatkan ruang dinding yang terbuka rumah ini.
Kita perkemaskannya semua sekali agar ianya selesa dan selamat untuk dihuni,
Hiaskanlah rumah ini dengan semangat dan roh perjuangan yang sejati,
Nyalakan dan terangkanlah rumah ini dengan api minda dan maruah yang cemerlang cahayanya.
Satukanlah dada-dada kita untuk menjadi pagar membenteng rumah ini.
Teruskan semua ini dengan cara kita agar rumah ini terus berkeramat makamnya.
Jadikanlah semua cita-cita dan kata-kata ini nyata adanya dengan cara kita sebaiknya.
INI RUMAH KITA
INI MASA KITA
INI CABARAN KITA
KITA JAYAKAN DAN LAKSANAKAN TUGAS INI DENGAN CARA KITA.
PEMUDA…CARA KITA!
HIDUP…PEMUDA!

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.