Keberadaan Wanita Muda Dalam Politik Harus Diperkasakan – Haryani

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Pencadang Usul Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO, Haryani Sukarman berkata keberadaan wanita muda dalam politik harus diperkasakan lagi.

Kata Ketua Puteri UMNO Bahagian Sri Gading itu, perlu dipergiatkan program pendedahan kepada masyarakat berkenaan peranan wanita muda dalam pembinaan negara bangsa.

”Kesedaran mengenai pentingnya kepelbagaian dan keberadaan wanita muda dalam politik perlu ditingkatkan. Program pendedahan dan kempen kesedaran boleh diadakan untuk memperkenalkan peranan politik kepada wanita muda dan menggalakkan mereka bergiat aktif.

”Keterbukaan dan kebebasan dari diskriminasi perlu diambil berat. Polisi dan amalan yang menentang diskriminasi dan diskriminasi jantina perlu ditekankan,” jelasnya pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pagi tadi.

Seterusnya kata beliau lagi, wanita muda perlu merasa selamat dan dihormati dalam politik dan kerajaan.

“Wanita muda perlu diberi peluang yang sama untuk berkhidmat dan menyumbang kepada negara. Suara Puteri UMNO harus didengar dan diiktiraf dalam proses pembuatan dasar bagi masa depan Malaysia kita,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, Haryani juga memberikan sokongan penuh kepada Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi atas usul keterbukaan dalam politik dan Kerajaan Perpaduan dengan membuka perspektif baru dan menyelami prinsip satu sama lain dalam politik.

”Kita buka ruang untuk kesemua 19 parti di bawah Kerajaan Perpaduan belajar di antara satu sama lain, tetapi perlu kita ingatkan untuk terus berpegang teguh kepada pendirian parti dan jati diri parti.

”Keikhlasan yang kita maksudkan adalah ikhlas untuk terus berjuang, ikhlas untuk beri peluang dalam kerjasama ini, ikhlas dalam memimpin organisasi dan ikhlas dalam berpolitik demi tujuan yang lebih besar untuk membangun generasi.

”Langkah-langkah konkrit perlu diambil. Pendidikan politik dan latihan kepimpinan perlu disediakan kepada wanita muda termasuk program mentor dan bimbingan untuk membangun keyakinan dan kemahiran mereka,” katanya. – UMNO ONLINE

 

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit