Jangan Terbuai Permainan Pihak Tidak Senang Kewujudan Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 8 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak terutamanya rakyat agar tidak terbuai dengan permainan pihak yang tidak senang dengan kestabilan Kerajaan Perpaduan lebih-lebih lagi dalam situasi berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Jelasnya, UMNO/Barisan Nasional (BN) bertekad untuk mendapatkan semula (regain) dan mempertahankan (retain) kerusi-kerusi yang ditandingi pada PRN kelak.
“Insya-Allah bagi PRN enam negeri ini kita akan menyusun gerak kerja bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan untuk kita bukan hanya ‘regain’ tetapi ‘retain’ kerusi-kerusi yang kita ada.
“Kombinasi antara ‘retain’ dan ‘regain’ ini telah kami bincangkan dengan rakan-rakan kongsi politik. Insya-Allah apabila kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada akhir bulan ini, saya yakin gerak kerja kita akan bertambah lancar,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, tengahari tadi.
Menurutnya yang juga Pengerusi BN itu, pembentukan Kerajaan Perpaduan yang sedia ada ini adalah berdasarkan prinsip yang akhirnya mampu mencapai kestabilan politik negara.
“Kita mempunyai prinsip bahawa kerjasama ini adalah antara BN dan PH maka pada dasar inilah terbentuk kerajaan sekarang.
“Jangan terbuai dengan permainan pihak-pihak yang memang tidak senang dengan kewujudan apatah lagi kestabilan kerajaan sekarang ini,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, mungkin ada kaedah-kaedah tertentu untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai kerjasama terbentuk antara BN-PH agar ianya boleh diterima oleh mereka.
“Hakikatnya, kebersamaan antara BN dan PH ini telah terbentuk dengan keserasian yang semakin bertambah. Mungkin di peringkat akar umbi ini mempunyai kaedah-kaedah tertentu untuk kita lakukan penjelasan.
“Di dalam sesi ‘townhall’ yang dilakukan oleh Ketua Penerangan semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi telah melakukan penjelasan mengikut kronologi. Perkara ini sepatutnya tidak timbul lagi kerana telah berlaku pencerahan yang sangat ‘crystalized’ dalam hal ini,” katanya lagi.
Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. – UMNO Online