Fahami Citarasa Pengundi, Gerak Kerja Perlu Diubah – Nurul Aslina

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Penyokong Usul Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO, Nurul Aslina Saman menzahirkan penghargaan kepada Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi kerana memberikan kepercayaan menyokong ucapan beliau.

Ini kerana katanya kerana keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu bukanlah keputusan yang diharapkan tetapi ia memberi keputusan melukakan, menyakitkan dan mengecewakan semua ahli parti.

“Corak serta cita rasa pengundi, adalah tuntutan terbesar yang perlu difahami. PRU lalu adalah ledakan fenomena di mana keputusan pengundian, tidak lagi ditentukan oleh kaedah-kaedah kebiasaan kita. Konsep dan gerak kerja perlu diubah dengan penyesuaian baru.

“Dalam mendepani PRN (Pilihan Raya Negeri) yang semakin hampir ini, Puteri UMNO perlu perkemaskan dari bawah seperti apa yang diumumkan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi. Kita perlu lebih proaktif, jadikan ‘influencers’ sebagai ikon Puteri sama ada dalam siri PRU atau PRN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung Pergerakan itu, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pagi tadi.

Seterusnya Aslina berkata sekarang tiba masanya semua ahli parti menginsafi dan kembali bertaut serta melakari perjalanan yang masih panjang demi kebaikan bersama.

“UMNO parti yang pernah berjasa sekiranya orang parti berpecah dan tidak kuat seperti dahulu, mana mungkin boleh menyelesaikan masalah rakyat. Kita boleh, berbeza pendapat tapi demi kebaikan bersama, tetapi sebagai orang parti seharusnya meletakkan kepentingan parti di hadapan.

“UMNO mesti dilihat sebagai kilang melahirkan pemimpin tetapi konsep kepimpinan berasaskan akar umbi perlu dibuat pembaharuan ‘Great leaders create more leaders’.

“Kita mahukan lebih ramai penyumbang idea-idea baharu yang bernas dan datangnya dari UMNO. Malah komuniti media sosial perlu dipergiat serta diperhebatkan. Persoalannya apakah UMNO sudah berjaya menawan hati anak-anak muda di perantauan?”

Gesanya juga, perpaduan perlu disulam dengan keikhlasan agar tiada jurang dengan anak-anak muda serta perhebatkan Puteri dengan menampilkan lebih ramai ikon dalam kalangan anak muda. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit