Rangka Tindakan Kemajuan Melayu: UMNO Perlu Segera Anjur Kongres Melayu

KUALA LUMPUR, 7 Jun – UMNO perlu segera menganjurkan Kongres Melayu dengan menghimpunkan pemikir terbaik bangsa, untuk membantu menghasilkan rangka tindakan (blueprint) kemajuan dan pemodenan bangsa Melayu yang lengkap, menyeluruh dan kalis masa.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UMNO perlu memulakan langkah berani dan tegas, dengan merangka rangka tindakan baharu dengan membawa agenda Melayu yang moden dan maju, untuk meyakinkan bangsa Melayu bahawa parti mempunyai rencana yang jelas untuk bangsa.

“Jika UMNO tidak menyediakan blueprint sebegini, maka bagaimana kita akan merencana program yang sistematik untuk kemajuan bangsa Melayu.

“Dengan blueprint sedemikian, kita dapat membuktikan bahawa kita sedar akan masalah yang melingkari bangsa Melayu dan kita ada strategi dan rancangan jangka panjang untuk mereka,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri secara serentak di sini hari ini.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) mencadangkan Kongres Melayu itu digerakkan oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata parti itu belum berjaya menampilkan agenda yang lebih progresif untuk bangsa Melayu.

“Empat tahun telah terbiar begitu sahaja, setelah dihambat pelbagai kemelut politik tanah air. Kita seolah hilang fokus kepada segala kekusutan dan kesengsaraan yang dilalui bangsa Melayu dan kita juga gagal, menampilkan solusi yang bernas untuk mereka.

“Ingatlah…bangsa kita berhadapan dengan pelbagai krisis yang meruncing sejak kebelakangan ini. Meskipun pahit perlu ditelan, hakikatnya bumiputera jauh ketinggalan berbanding kaum lain di negara ini. Orang Melayu kita masih tergolong dalam kumpulan miskin tegar, dengan kadar kemiskinan tertinggi berbanding masyarakat yang lain,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau itu juga berkata UMNO tidak lagi boleh hidup dalam penafian, selepas tewas dalam dua pilihan raya umum yang lepas, selain bukan lagi blok politik Melayu terbesar dalam demokrasi Malaysia.

Beliau berkata penyusutan pengaruh UMNO dalam kalangan orang Melayu dan rakyat Malaysia adalah pada tahap kritikal.

“Justeru, janganlah kita terus bermain dengan ‘the blame game’. UMNO tidak akan bangkit, jika kita terus terperangkap dalam ‘blame game’ ini. Nasib dan masa depan UMNO adalah urusan kita. Tiada yang mampu mengubah nasib UMNO kecuali kita jua.

“Justeru, sekarang adalah masanya untuk kita memulakan semula, gerak kerja membangunkan UMNO ini dengan iltizam, jiwa dan kerja keras,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.